Home Ekonomi Dagangan niaga hadapan MSM dijangka rendah

Dagangan niaga hadapan MSM dijangka rendah

palm oil benefits

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan lebih rendah minggu depan apabila pasaran terus diasak dengan jangkaan peningkatan pengeluaran komoditi pada tempoh akan datang.

Peniaga minyak sawit David Ng berkat,a prospek kurang memberangsangkan itu adalah susulan daripada anggaran peningkatan pengeluaran oleh Persatuan Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan (SPPOMA) dan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).

“Kami menjangkakan pergerakan harga dalam lingkungan RM5,000 hingga RM5,800 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu baru berakhir ini, niaga hadapan MSM Malaysia kebanyakannya lebih rendah akibat kebimbangan penyusutan permintaan berikutan penarikan balik larangan eksport MSM Indonesia dan jangkaan pengeluaran lebih tinggi pada minggu-minggu akan datang.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, bulan semerta Julai 2022 merosot RM464 kepada RM5,679 satu tan, Ogos 2022 susut RM396 kepada RM5,524 satu tan, September 2022 turun RM312 kepada RM5,454 satu tan, Oktober 2022 berkurangan RM248 kepada RM5,429 satu tan, November 2022 menguncup RM225 kepada RM5,440 satu tan dan Disember 2022 kehilangan RM159 kepada RM5,460 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 397,816 lot daripada 258,636 lot pada minggu sebelum ini manakala kepentingan terbuka naik kepada 298,491 kontrak daripada 221,157 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan pula kekal tidak berubah pada RM6,550 satu tan. – BERNAMA