JOHOR BAHRU – Sebanyak 30 buah koperasi di negeri ini sudah tidak mampu bertahan dan terpaksa gulung tikar sejak tahun lalu hingga sekarang.
Jumlah itu sebahagian daripada 1,456 koperasi yang berdaftar di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, kebanyakan koperasi terbabit terlibat dalam perniagaan inap desa dan perhotelan.
Berikutan itu, satu kajian akan dijalankan bagi mengenal pasti punca koperasi yang awalnya mampu bertahan semasa pandemik Covid-19 yang melanda negara pada tahun 2020, akhirnya terpaksa ‘bungkus’.
”Saya dan Pengarah Koperasi negeri akan turun padang memantau dan mengenal pasti dengan teliti semula apa punca mereka sehingga terpaksa gulung tikar. Selepas kajian dan dapatan diperolehi, pihak kerajaan akan cuba membantu, saya akan beri kenyataan berhubung perkara ini selepas kajian dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat Negeri Johor sempena sambutan 100 tahun Gerakan Koperasi di Angsana Johor Bahru Mall hari ini.
Mohd. Hairi berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong dan membantu usaha menggalakkan perkembangan gerakan koperasi untuk terus konsisten, berkembang maju dan cemerlang.
Sebagai contoh, katanya, pada tahun lalu, kerajaan negeri telah meluluskan Bantuan Prihatin Koperasi berjumlah RM1.5 juta.
“Faedah ini telah dinikmati oleh 299 buah koperasi di bawah kluster kecil dan mikro. Manakala di bawah Program Pembangunan Ekonomi Setempat yang diurus oleh Perbadanan Usahawan Negeri Johor (PUJB), sebanyak 18 permohonan telah diluluskan dengan keseluruhan dana berjumlah RM365,014,” katanya.
Di Johor terdapat lebih 460,000 anggota gerakan koperasi dan ia merupakan satu angka besar dan mampu mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang kukuh dan mampan.
“Kita berharap dengan pembukaan pintu sempadan Johor-Singapura dapat mengembalikan semula pertumbuhan ekonomi Johor dan berharap gerakan koperasi mengambil bahagian yang signifikan dalam pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette