KUALA LUMPUR- Seorang pelakon popular tempatan telah ditahan reman oleh polis selepas didakwa menumbuk dan menendang seorang lelaki di sebuah kondominium di Segambut di sini.
Suspek dilaporkan melakukan jenayah itu dalam kejadian pada Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, suspek berusia 30-an itu direman selama tiga hari bermula hari ini.
Katanya, suspek juga merupakan penghuni kondominium berkenaan disyaki telah menumbuk dan menendang seorang lagi penghuni di kondominium berkenaan sekitar jam 8.30 malam.
“Insiden itu berlaku selepas mangsa dilaporkan telah meminta tolong rakannya untuk membeli minyak masak di luar kawasan kediaman tersebut.
“Apabila rakan mangsa hendak menghantar minyak masak yang dipesan, dia dilarang oleh pengawal keselamatan yang bertugas untuk memasuki semula kediaman tersebut sebelum memaklumkan perkara itu kepada mangsa.
“”Mangsa kemudian turun ke kawasan lif di lobi kondominium berkenaan sebelum menyoal pengawal keselamatan sebab rakannya dihalang memasuki semula premis kediaman itu untuk menghantar minyak masak yang dibelinya,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.
Tambah beliau, ketika mangsa menyoal pengawal keselamatan itu, difahamkan berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan pengawal tersebut sebelum suspek (artis lelaki) itu tiba-tiba muncul dan menumbuk serta menendang mangsa.
Menurutnya, mangsa ditumbuk suspek di bahagian muka, dada, perut dan belakang badan, turut dicekik serta diugut akan membunuhnya.
“Mangsa tampil membuat laporan polis sejurus kejadian itu. Sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah IPD Sentul telah memberkas suspek di kediamannya pada malam Jumaat.
“Suspek direman bermula hari ini sehingga Isnin ini untuk membantu polis melengkapkan siasatan lanjut kes yang sedang dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 323 Kanun Keseksaan ugutan dan mendatangkan kecederaan,” tambahnya. – MalaysiaGazette