KOTA KINABALU – Peratusan pesakit kontak rapat COVID-19 dijangka bertambah setiap hari di Sabah sekiranya lebih ramai orang terdedah kepada pembawa virus berbahaya itu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, susulan pertambahan kes harian di beberapa daerah khususnya yang padat dengan penduduk, peratusan pesakit kontak rapat juga mula meningkat.
Masidi berkata, daripada 127 kes yang direkodkan hari ini, sebanyak 43 kes atau 33.86 peratus adalah daripada saringan kontak rapat, saringan bergejala 65 kes (51.18 peratus) dan lain-lain 19 kes (14.96 peratus).
“Mengambil kira perkembangan semasa angka COVID-19 di negeri ini, amatlah disarankan agar masyarakat mematuhi semua prosedur operasi standard yang berkuat kuasa bagi mengelakkan jangkitan virus COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata jumlah kes baharu ialah 127 menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 373,339. – BERNAMA