KEMAMAN – Remaja perempuan yang didakwa membunuh bayi yang baru dilahirkannya dalam kejadian pada 8 Februari lalu dibebaskan setelah selesai membayar ikat jamin di Mahkamah Rayuan, Putrajaya sementara menunggu perbicaraan.
Tertuduh berusia 15 tahun yang dilihat berpakaian lokap polis berwarna ungu dibawa ke bilik bicara kira-kira jam 9.30 pagi diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini.
Turut kelihatan ibu remaja terbabit hadir bagi mendengar keputusan berkenaan status ikat jamin tertuduh.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman menjelaskan, tertuduh selesai membayar wang ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin Jumaat lalu setelah menjalani penilaian psikiatri di Hospital Permai, Tampoi di Johor.
Remaja itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Februari lepas atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya di sebuah rumah di Seri Bandi, Kemaman, Terengganu antara 7 dan 9 pagi pada 8 Februari.
Bagaimanapun, dia tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan dan permohonannya untuk dirujuk bagi penilaian kesihatan mental turut ditolak oleh mahkamah sama.
Remaja itu kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Putrajaya dan dibenarkan diikat jamin RM 20,000 berserta seorang penjamin.
Terdahulu, remaja itu memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Terengganu untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret yang tidak membenarkannya diikat jamin namun ditolak pada 8 Mac.
Mahkamah Tinggi Terengganu bagaimanapun membenarkan sebahagian permohonan semakan remaja itu dan memerintahkan agar dia dirujuk untuk menjalani penilaian psikiatri.
Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menetapkan sebutan semula kes pada 18 Julai ini berikutan masih ada laporan kimia yang belum lengkap.-MalaysiaGazette