Home Pendapat Program Pendidikan Inklusif PPI bagi murid berkeperluan khas

Program Pendidikan Inklusif PPI bagi murid berkeperluan khas

Guru kelas mula mengajar anak murid mereka pada hari pertama sesi persekolahan Penggal 1, Kalender Akademik Sesi 2022/2023 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Kebangsaan Pandan Perdana, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2022. - Gambar hiasan

Pendidikan adalah hak asasi semua manusia dan dari
segi falsafahnya, semua individu di dunia ini mempunyai hak untuk belajar dan mengetahui sesuatu. Kanak-kanak berkeperluan khas terdiri daripada kanak-kanak yang mengalami kesukaran untuk belajar.

Maka, individu seperti ini memerlukan pengubahsuaikan kepada kurikulum dan kaedah mengajar supaya mereka dapat merealisasikan potensi mereka secara optimum. Saya telah membangkitkan isu soal keberkesanan Program Pendidikan Inklusif (PPI) bagi murid berkeperluan khas (MBK) pada Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri
Johor Yang Ke-15.

Di Malaysia, peluang pendidikan telah disediakan kepada murid berkeperluan khas (MBK) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada peringkat awal usia. Terdapat 4 peringkat yang disediakan dalam program Pendidikan Khas, termasuklah pendidikan prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah
dan pendidikan lepas menengah.

Salah satu program di bawah Pendidikan Khas ialah Program Pendidikan Inklusif. Program Pendidikan Inklusif (PPI) adalah
program yang ditawarkan kepada MBK untuk belajar dengan rakan sebaya di dalam kelas serta sekolah yang sama untuk menikmati semua peluang pembelajaran sama rata kepada mereka tanpa mengira bangsa, latar belakang, status ekonomi dan ketidakupayaan.

Selama hampir 28 tahun pelaksanaan Program Pendidikan Inklusif (PPI) di Malaysia, namun persoalannya dimanakah keberkesanan PPI seperti dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) bahawa kementerian pendidikan telah menetapkan objektif mereka yang menyatakan hasrat mereka bahawa 75% MBK akan terlibat dalam PPI menjelang 2025?

Kekurangan kelengkapan adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada keberkesanan Program Pendidikan Inklusif (PPI) dan saya mencadangkan untuk kerajaan negeri perlu mengagihkan peruntukan khas bagi Program Pendidikan Inklusif supaya Murid Berkeperluan Khas (MBK) di negeri Johor tidak tercicir.

Kemudahan yang diperolehi untuk tujuan membantu MBK dalam pembelajaran adalah amat penting. Peruntukan dan penambahbaikan kemudahan asas adalah salah satu kriteria yang penting bagi memastikan keberkesanan program Pendidikan Inklusif bagi mewujudkan persekitaran inklusif yang sesuai.

Kerajaan negeri perlu memastikan aksesibiliti terhadap bahan pendidikan dan teknologi baharu, mudah dibaca, bantuan sari kata (subtitling) , bantuan teknikal dan teknologi bantuan untuk memudahkan proses komunikasi tercapai bagi MBK.

Pelaburan dalam akses kepada teknologi yang sesuai dan alternatif dan tambahan sistem komunikasi untuk memudahkan pembelajaran harus diberi perhatian khusus serta penyesuaian metodologi dan organisasi bilik darjah untuk menonjolkan inklusiviti.

Bukan itu sahaja, saya juga bercadang kepada kerajaan
negeri untuk memberikan insentif khas kepada golongan MBK bagi menampung perbelanjaan tambahan sebagai sokongan kewangan sepanjang tempoh belajar di setiap peringkat sekolah.

Secara langsung, ia akan meningkatkan partisipasi golongan MBK untuk menyertai Program Pendidikan Inklusif dan juga membantu untuk keberkesanan PPI.

Tambahan pula, saya juga menyarankan kepada kerajaan negeri supaya menjalinkan kolaborasi bersama dengan agensi atau pihak luar bersama-sama dengan pihak sekolah bagi memastikan kejayaan Program Pendidikan Inklusif ini.

Kepentingan dalam menjalinkan kolaborasi bersama pihak-pihak ini adalah bagi melengkapi perkhidmatan yang tidak dapat disediakan oleh pihak sekolah, mendapatkan maklumat atau idea serta bertukar-tukar pendapat mengenai perkembangan dan keperluan murid khas.

Di Malaysia, pendidikan untuk orang kurang upaya memerlukan proses perkembangan yang lebih lanjut jika berbanding dengan negara-negara lain. Kebanyakan kesulitan dan cabaran berkaitan pelaksanaan PPI telah muncul dalam sistem pendidikan negara kita dan cadangan serta jalan penyelesaian perlu difikir untuk mengharungi sebarang rintangan yang ditemui. Pendidikan inklusif memberi peluang kepada murid-murid bermasalah pembelajaran untuk belajar dan bersosialisasi bersama rakan dalam bilik darjah arus perdana.

Kesempatan mengikuti pendidikan inklusif juga penting diberi perhatian kerana membuka ruang kepada murid bermasalah pembelajaran menduduki peperiksaan awam. Oleh yang demikian, pengurusan pendidikan inklusif di peringkat negeri dan nasional wajar dilihat semula supaya semua pihak mendapat manfaatnya secara penuh.

Arthur Chiong Sen Sern
ADUN Bukit Batu
Jurucakap Pendidikan Pakatan Harapan