KOTA BHARU – Penjara baharu yang boleh menempatkan 3,000 banduan akan dibina di Kelantan dan dijangka siap pada 2027.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, mengikut perancangan penjara terbesar dan moden itu akan dibina di Ketereh dan proses pemilikan tanah dijangka diselesaikan tahun ini.
“Proses pembinaan dijangka bermula pada hujung tahun depan dan mengambil masa sekitar tiga atau empat tahun untuk siap sepenuhnya.
“Penjara baharu ini bertujuan untuk mewujudkan fasiliti lebih baik kepada kedua-dua pihak termasuk penghuni dan juga pihak penjara memandangkan kita dapati banyak penjara di negara ini telah berusia dan perlu penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Peringkat Zon Timur kepada 200 penerima di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd Sayuthi berkata, pembinaan penjara itu juga dapat mengurangkan kesesakan di penjara sedia ada termasuk kesesakan penjara di Zon Timur.
“Ketika ini Jabatan Penjara Malaysia telah mengambil inisiatif sementara waktu dengan mengadakan program-program pemulihan untuk mengurangkan kesesakan banduan dalam penjara.
“Kita lihat ia telah membuahkan hasil apabila penyertaan kita dalamĀ London Craft Week baru-baru ini berjaya memperoleh anugerah di sana selain beberapa program pemulihan kita turut mendapat perhatian daripada jabatan penjara di luar negara termasuk United Kingdom,” katanya. – Bernama
Cantik kalau kelantan ada penjara terbesar dimalaysia . Negeri islam serambi mekah boleh didik penghuninya mendalami ugama islam . Mudah2an keluar penjara dapat ijazah .