Home Nasional Shahidan janji pembangunan semula flat Sutera dilaksana dalam masa terdekat

Shahidan janji pembangunan semula flat Sutera dilaksana dalam masa terdekat

Datuk Seri Shahidan Kassim. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Penduduk flat Sutera, Taman Desa Bakti di Selayang boleh menarik nafas lega apabila kerajaan berjanji akan membangunkan semula kawasan kediaman tersebut dalam masa terdekat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang memberi jaminan itu berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai berita gembira kepada penduduk penduduk terbabit pada minggu ini.

“Saya tahu tentang projek pembangunan semula ini. Saya juga sedia maklum dengan isu-isu terutamanya hal-hal berkaitan dengan kebanjiran warga asing di flat Sutera itu.

“Walaupun ada perkara yang tidak berkaitan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, sebaliknya kementerian lain terutamanya isu warga asing ini tetapi kami tetap prihatin dan mahu menyelesaikan apa-apa isu terutamanya projek untuk rakyat,’ katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Shahidan, kehadiran warga asing di situ semakin berleluasa kerana terdapat dalang dalam kalangan warga tempatan yang membawa mereka masuk.

“Penduduk kita di pangsapuri Sutera tidak perlu risau, projek pembangunan semula ini sudah peringkat akhir, ada beberapa perkara tetapi rasanya semua akan selesai minggu,” ujarnya.

Penghuni Flat Sutera derita rumah usang, terpaksa tinggal bersama komuniti Rohingya

MalaysiaGazette hari ini melaporkan tentang kebimbangan dan kekecewaan penduduk flat Sutera terhadap kelewatan projek pembangunan semula di kawasan tersebut seperti dijanjikan pemaju.

Mereka berkata flat intu bukan sahaja sudah usang dan persekitarannya kotor. Malah sebahagian besar kediaman di flat itu dihuni warga asing.

Berikutan itu, penduduk flat Sutera mahu Shahidan masuk campur dan membantu mempercepatkan projek pembangunan semula itu. – MalaysiaGazette