Home Politik Bersatu tidak pernah terima wang RM1.3 juta daripada Muhyiddin – Tun M

Bersatu tidak pernah terima wang RM1.3 juta daripada Muhyiddin – Tun M

Tun Dr. Mahathir Mohamad IJN surgery procedure
Tun Dr. Mahathir Mohamad

BALAKONG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah menerima wang sebanyak RM1.3 juta untuk dimasukkan kedalam akaun parti.

Bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai perkara berkenaan ketika menerajui Bersatu, malah tidak mengetahui perkara tersebut.

Katanya, sebarang bentuk wang yang diterima daripada penderma bukannya disimpan oleh penerima sebaliknya, ia perlu diserahkan kepada bendahari parti.

“Dalam parti Bersatu undang-undang dan dasar kita, apabila terima wang dari mana-mana pihak ia hendaklah diserah ke tabung yang dikuasai pegawai bertanggungjwab terhadap kewangan Bersatu.

“Jadi setakat yang saya tahu parti Bersatu tak terima wang berjumlah RM1.3 juta…sama ada Muhyiddin terima atau tidak saya tak berani kata.

“Tapi, nampak ada tuduhan yang dia terima dan ada penafian yang dibuat oleh Muhyiddin. Hanya Muhyiddin sahaja boleh tentukan sebab kami tak dapat maklumat, kalau dia terima duit itu spatutnya serah kepada bendahari,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sebelum ini menafikan menerima RM1.3 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) antara bulan Jun sehingga Ogos 2018.

Beliau menyifatkan dakwaan tersebut tidak berasas kerana dalam tempoh itu beliau menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.

Dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi pada Jumaat, bekas Pengurus Pentadbiran UKSB yang juga saksi ke-17, David Tan Siong Sun memberitahu Muhyiddin menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.

Muhyiddin juga dilapor sedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tersebut.

Sementara itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang berkata, beliau tidak pasti sama ada tuduhan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu benar atau sebaliknya.

Ujarnya, jika beliau yang menerima wang tersebut pada ketika itu sudah pasti beliau akan menyerahkannya kepada bendahari parti. – MalaysiaGazette