SHAH ALAM – Bagi meningkatkan motivasi dan galakan pelajar untuk memilih bidang Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kerajaan bersetuju melaksanakan Program Dermasiswa B40 TVET.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan program itu khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET di IPTA bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tahun ini.
“Pengambilan pertama akan melibatkan 1,000 orang pelajar dan Kerajaan menjangkakan program ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM36.41 juta bagi setiap pengambilan.
“Saya yakin, program ini menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia, terutamanya daripada kumpulan B40 mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET,” katanya ketika merasmikan Minggu TVET Negara 2022 di Politik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Pada awal ucapannya, Ismail Sabri berkata, bilangan pelajar aliran vokasional dan teknikal di negara maju adalah tinggi.
Jelasnya, di Jerman bidang TVET dianggap salah satu sistem pendidikan utama, sehingga 70 peratus pelajarnya memasuki aliran vokasional.
“Senario ini juga terdapat di negara-negara maju di Asia seperti Korea Selatan yang berjaya bangkit dengan pantas daripada kemusnahan perang untuk muncul sebagai kuasa besar ekonomi hasil pengukuhan pendidikannya termasuk bidang TVET.
“Dengan menjadikan kedua-dua negara ini sebagai contoh, amat signifikan untuk Kerajaan menetapkan TVET sebagai antara perkara yang perlu diberikan keutamaan bagi memacu pembangunan ekonomi negara,” jelas Ismail Sabri lagi.
Untuk rekod, TVET telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK – 12).
“Ini kerana sudah sampai masa TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan seperti mana negara maju lain,” katanya.
Justeru, Ismail Sabri berkata, pelbagai strategi telah digariskan termasuk menangani isu pertindihan dan merombak tadbir urus TVET, mempromosikan jenamanya selain meningkatkan kualiti program dan mewujudkan pangkalan data.
“Kerajaan turut memperkukuhkan penawaran program berorientasikan industri dan memperhebatkan penglibatan industri secara aktif bagi menyediakan graduan yang menepati keperluan mereka,” katanya lagi.
Mengakhiri ucapan beliau, Ismail Sabri turut mengisytiharkan 2 Jun sebagai Hari TVET Negara.
Ia jelas Ismail Sabri bagi menghargai sumbangan pelbagai pihak berkaitan TVET.
“Tarikh itu juga bersempena penubuhan Politeknik Ungku Omar yang merupakan institusi penyedia TVET terawal negara sejak 1969,” katanya lagi. – MalaysiaGazette