Home Nasional Henti tuding jari selesaikan isu keselamatan makanan – Amin

Henti tuding jari selesaikan isu keselamatan makanan – Amin

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor. Foto: NIZAM ZAIN

KUALA LUMPUR – Sikap menyalahkan kerajaan dalam isu keselamatan makanan tidak akan menyelesaikan masalah tetapi hanya menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd Shukor berkata, semua pihak sama ada rakyat mahu pun pihak swasta perlu membantu kerajaan menangani isu itu untuk memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Selama ini saya tengok, kita suka salahkan orang, baik swasta, kerajaan mahupun rakyat, suka salahkan sesiapa. Pihak swasta juga bertanggungjawab menyokong kerajaan untuk memenuhi masalah keselamatan makanan.

“Semua pihak kena mainkan peranan, kalau menyalahkan mana-mana pihak tidak menyelesaikan apa-apa masalah, swasta salahkan kerajaan, ramai salahkan kerajaan, salahkan balik rakyat, semua orang akan terkesan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Ketika negara dalam proses peralihan fasa endemik pada 1 April lalu, berlaku kenaikan harga barang khususnya ayam mentah kerana kekurangan bekalan di pasaran Lembah Klang.

Keadaan itu bertambah teruk apabila kenaikan harga makanan ruminan ayam seperti jagung dan kacang soya memberi kesan kepada harga ayam mentah di pasaran.

Sudah sampai masanya satu Jawatankuasa Khas Mengenai Keselamatan Makanan dengan lebih serius perlu diwujudkan untuk menangani masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga barang di pasaran yang kian meruncing.

“Sudah sampai masanya untuk kita ada satu Jawatankuasa Khas berkenaan Keselamatan Makanan yang betul-betul serius. Kita bukan nak yang mark up, kita tak nak benda yang asal boleh, kita tak nak yang cukup syarat sahaja.

“Kita nak benda yang betul-betul serius supaya semua pemain industri membantu kerajaan dan kerajaan pula permudahkan urusan mereka,” katanya.

Katanya lagi, polisi menang-menang yang diamalkan kerajaan di beberapa negara mampu mengatasi masalah keselamatan makanan dengan kerjasama pihak swasta.

“Kita sudah tengok di luar, macam India, Vietnam dan negara-negara lain, bila industri sokong kerajaan, kerajaan akan beri sokongan kepada industri,

“Bukan semestinya dari segi duit, mungkin permudahkan dari segi polisi, bantuan untuk gabungkan dana mereka, sudah sampai masanya untuk kita bekerjasama dengan dalam hal ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette