Home Seni Hidup Menara Masjid Serkam Pantai dipanah petir

Menara Masjid Serkam Pantai dipanah petir

Bahagian puncak menara Masjid Serkam Pantai yang bersaiz ukur lilit dua meter dan 1.2 meter tinggi yang pecah akibat dipanah petir.

JASIN – “Mujurlah panahan petir itu berlaku lewat sedikit selepas selesai solat Subuh, jika tidak mungkin serpihan batu seberat dua kilogram yang pecah akibat dipanah petir itu boleh mengorbankan jemaah di ruang solat masjid.”

Itu diceritakan Timbalan Pengerusi Masjid Serkam Pantai, Zakaria Abu Bakar mengenai kejadian bagaimana puncak menara masjid berusia 169 tahun itu dipanah petir sehingga serpihan batu merosakkan bumbung masjid dan sebuah kereta jemaah hari ini.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi ketika hujan lebat setelah kira-kira 30 jemaah selesai menunaikan solat Subuh dan mula bergerak ke ruang luar masjid menunggu hujan reda.

Zakaria (kanan) menunjukkan kerosakan pada bumbung masjid berusia 169 tahun di Melaka hari ini.

“Ketika itu, saya masih berada di dalam masjid dan sedang membaca al-Quran sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi petir yang kuat sehingga turut mengakibatkan bekalan elektrik terputus.

“Tidak lama kemudian, saya dan seorang lagi jemaah merasai air hujan mula memasuki ruang utama solat selain terlihat seperti ada serpihan batu.

“Selepas itu barulah saya ternampak batu seberat kira-kira dua kilogram berada di saf keempat selain bumbung masjid berusia 169 tahun ini juga pecah akibat terkena serpihan batu itu,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan di sini hari ini.

Zakaria Abu Bakar

Zakaria bagaimanapun bersyukur kerana ketika kejadian, tiada jemaah yang berada di ruang solat utama yang mungkin akan mengakibatkan kemalangan jiwa jika terkena serpihan batu berkenaan.

“Ini adalah kali pertama bahagian puncak menara masjid bersaiz ukur lilit dua meter dan 1.2 tinggi itu dipanah petir mengakibatkan kerosakan pada masjid warisan ini.

“Buat masa sekarang, kita terpaksa menunggu tindakan lanjut daripada pihak Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) kerana ini adalah masjid sejarah yang perlu mendapat nasihat mereka untuk sebarang kerja-kerja pembaikan,” katanya.

Zakaria menunjukkan serpihan puncak menara Masjid Serkam Pantai, Serkam, Melaka yang dipanah petir di Melaka hari ini.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di masjid berkenaan mendapati terdapat beberapa serpihan kecil bertaburan di ruang parkir dan kawasan tanah perkuburan masjid berkenaan.

Masjid Serkam Pantai yang mula dibina 1853 itu telah diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Tanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 27 Mac 1980. – MalaysiaGazette.