Home Nasional Serangan terhadap Jagdeep bukan bermotif politik – Polis

Serangan terhadap Jagdeep bukan bermotif politik – Polis

Jagdeep Singh Deo
Jagdeep Singh Deo

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan serangan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo di hadapan sebuah restoran dan bar di Tanjung Bungah pada Jumaat lalu tidak bermotifkan politik atau dendam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan juga mendapati warga asing berusia 60 tahun itu turut tidak mengenali pemimpin DAP yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang itu.

“Suspek dan Jagdeep hadir ke premis itu bersama ahli keluarga masing-masing untuk makan malam dan serangan berlaku di tempat letak kereta di hadapan restoran tersebut.

“Susulan beberapa jam kejadian itu, suspek ditahan di kediamannya di sekitar George Town dan siasatan mendapati berlaku sedikit salah faham antara suspek dan mangsa sebelum insiden tersebut.

“Selain itu, siasatan awal juga mendapati kemungkinan besar suspek berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, siasatan berhubung kes itu masih dijalankan namun boleh disahkan serangan itu tidak berunsurkan jenayah atau dendam politik.

Kata beliau, suspek juga tidak tahu bahawa Jagdeep adalah seorang ahli politik.

“Kami masih menyiasat jika terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. Suspek yang ditahan reman selama dua hari telah dibebaskan atas jaminan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

Media semalam melaporkan, Jagdeep Singh Deo mengalami kecederaan pada buku lali selepas didakwa diserang seorang lelaki kira-kira pukul 8.30 malam pada Jumaat lalu.

Susulan insiden itu, ahli politik berusia 51 tahun itu menerima rawatan di sebuah hospital swasta. – MalaysiaGazette