Home Nasional Pelakon didakwa belasah orang bebas jaminan polis

Pelakon didakwa belasah orang bebas jaminan polis

Pelakon yang direman sejak malam Jumaat dalam insiden memukul dan mencekik penduduk di Sentul dibebaskan dengan jaminan polis tengahari tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon yang ditahan bagi kes memukul seorang penghuni kondominium di Sentul pada Khamis lalu telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek warga tempatan berusia 30-an itu telah dibebaskan tengahari tadi selepas direman selama empat hari sejak Jumaat lalu untuk membantu siasatan polis.

“Kita sudah membebaskan suspek dengan jaminan polis sekitar jam 12 tengahari tadi selepas ditangkap reman dan selesai merekodkan keterangan daripadanya.

“Sementara itu kertas siasatan membabitkan suspek akan dilengkapkan segera untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, selepas selesai urusan jaminan polis, individu itu telah meninggalkan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pukul 1.10 tengahari tadi.

Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 323 Kanun Keseksaan ugutan dan mendatangkan kecederaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon lelaki sensasi belasah penghuni kondominium direman

Pada Sabtu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang juga merupakan penghuni kondominium yang sama disyaki telah menumbuk dan menendang mangsa pada malam Khamis lalu.- MalaysiaGazette