KUALA LUMPUR – UMNO Johor Bahru mengingatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak memutarbelitkan fakta berhubung desakan UMNO menuntut supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.
Ketuanya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, sebetulnya hanya satu dua kerat pemimpin UMNO yang tidak mahu PRU-15 diadakan awal kerana kepentingan peribadi mereka.
“Saya nak perbetulkan dakwaan bekas Timbalan Presiden PKR yang menyertai Bersatu, dia kata satu dua kerat pemimpin UMNO yang mahukan PRU-15 segera.
“Faktanya, satu dua kerat pemimpin UMNO yang tidak mahu pilihan raya diadakan awal kerana kepentingan peribadi mereka,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Bersatu Bahagian dan Sayap Bahagian di Kedah semalam, Mohamed Azmin dilaporkan berkata, desakan untuk mengadakan PRU awal hanya datang dari beberapa ‘kerat’ pimpinan UMNO.
Beliau berkata, ini bukan masanya untuk mengadakan pilihan raya semata-mata kerana nafsu serakah satu dua kerat pemimpin UMNO di peringkat atas yang mempunyai kepentingan peribadi mereka.
Maka dengan itu, ujarnya, kerajaan harus meletakkan kepentingan ekonomi negara dan rakyat dalam memastikan Malaysia terus memacu satu pertumbuhan yang lestari untuk masa akan datang.
Shahrir kemudiannya menyelar perkataan ‘nafsu serakah’ yang digunakan Mohamed Azmin terhadap pemimpin UMNO yang disifatkan sebagai perkataan kegemaran pemimpin lompat parti itu.
“Nafsu serakah memangnya perkataan kegemaran Azmin. Tahap bahasanya sungguh tinggi. Semua perkataan-perkataan besar belaka tapi dari segi fakta, tidaklah sehebat mana,” katanya. – MalaysiaGazette