Home Sukan Nurul Izzah cipta sejarah pelumba basikal wanita pertama menang emas

Nurul Izzah cipta sejarah pelumba basikal wanita pertama menang emas

Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (tengah). Foto Facebook Ahmad Faizal.

KUALA LUMPUR – Kecemerlangan pelumba muda negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri yang meraih emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi semalam dipuji.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi Twitternya pagi ini mengucapkan tahniah kepada Nurul Izzah yang memenangi emas di kejohanan itu selepas mencatat 35.499 saat (s) di Velodrom Kompleks Indira Gandhi.

“Syabas! Pelumba bintang muda berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta detik bersejarah sukan berbasikal negara apabila berjaya meraih pingat emas acara 500m ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi 2022,” katanya.

Menurut laman rasmi kejohanan www.atcc2022.com, pelumba berusia 19 tahun itu mengatasi Kim Bomi dari Korea Selatan di kedudukan kedua dengan catatan 36.374s dan wakil tuan rumah, Mayuri Dhanaraj di tempat ketiga dengan masa 36.481s.

Pada akhir Mei lalu, Nurul Izzah mencipta sensasi apabila meraih emas acara pecut wanita elit pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2022 di Velodrom Nasional Nilai, menewaskan pelumba berpengalaman negara Anis Amira Rosidi yang mewakili Perlis.- MalaysiaGazette