Home Sukan Jordan sertai KL City secara pinjaman

Jordan sertai KL City secara pinjaman

Pemain Terengganu FC, Jordan Mintah (kiri) meraikan jaringan bersama rakan pasukannya selepas berjaya membolosi gawang pasukan Sarawak United FC pada perlawanan suku akhir kedua TM Piala Malaysia 2021 di Stadium UiTM Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penyerang berbisa Terengganu FC,  Jordan Mintah dilaporkan akan menyertai pasukan KL City menjelang jendela perpindahan kali ini.

Kapten pasukan Terengganu II itu dilepaskan dari Terengganu ke KL City FC secara pinjaman.

Perkara itu dimaklumkan wartawan sukan, Zulhelmi Zainal Azam dalam satu ciapan di Twitter.

Sebelum ini telah tersebar satu tangkap layar yang mengaitkan Mintah ke Selangor namun perkara itu telah pun dinafikan oleh kedua-dua pihak.

Kini penjaring terbanyak Liga Premier 2021 itu dilihat bakal menambah bisa barisan serangan skuad kendalian Bojan Hodak menjelang aksi di Piala AFC dan saingan Liga Super.

KL City akan mulakan kempen Piala AFC pada 24 Jun kelak menentang pasukan PSM Makassar.

Perlawanan itu bakal menjadi medan terbaik buat Mintah kembali meledak dan membuktikan kemampuan sebenar di pentas Asia. – MalaysiaGazette