KUALA LUMPUR – Kejam dan tidak berperikemanusian!
Itu ungkapan apabila melihat video seorang lelaki didakwa dengan sengaja membaling batu ke arah seekor kucing sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala haiwan berkenaan.
Kejadian itu dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Berdasarkan rakaman yang tular berdurasi dua minit 35 saat itu jelas menunjukkan seorang lelaki yang memandu kereta Bezza berwarna putih mengumpan seekor kucing dengan memberikan makanan di kaki lima kedai sebelum cuba membunuh haiwan malang berkenaan.
Lelaki itu dilihat sengaja mencari peluang untuk membunuh haiwan itu dengan membaling batu-bata ke arahnya.
Kucing itu kemudiannya ditinggalkan dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
Selepas menyerang kucing itu, rakaman turut menunjukkan lelaki berbaju dan berseluar hitam itu terus masuk ke dalam keretanya dan berpatah balik untuk melihat kucing itu dalam keadaan kesakitan.
Menerusi perkongsian di Facebook Hafiz Qayuum, kejadian itu dipercayai berlaku awal pagi semalam di hadapan sebuah kedai di Semeling, Kedah.
“Pada jam lebih kurang 1.10 pagi, seorang individu lelaki telah datang ke bahagian hadapan kedai MR DIY Express Semeling dipercayai ingin memberi makanan kepada seekor kucing.
“Lalu bertindak membaling batu ke arah kucing tersebut dan membiarkannya dalam kesakitan tanpa memberikan bantuan. Di sini saya sertakan rakaman CCTV bagi membuktikan kesahihan kenyataan yang saya sampaikan,” tulisnya.
Tambahnya, dia tidak menyokong keganasan terhadap haiwan yang tidak berperikemanusiaan.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi gambar keadaan kucing itu yang mengalami kesan luka di kepala serta nombor pendaftaran kereta yang dipandu lelaki tersebut.
Menerusi ruangan komennya, Hafiz Qayyum turut memuat naik satu lagi video di di luar premis sama di mana terdapat dua kucing yang diumpannya dengan makanan.
Seekor kucing berjaya mengikutnya ke tengah jalan, di belakang keretanya sebelum ditendang dengan kejam.
Jelas tindakan lelaki itu tidak disenangi orang ramai dan menggesa pihak berkuasa segera menjalankan siasatan mengesan keberadaan lelaki tersebut serta memberi hukuman yang setimpal atas perbuatan kejamnya itu. – MalaysiaGazette