Home Nasional MBK saman pengusaha ATV beroperasi tanpa permit

MBK saman pengusaha ATV beroperasi tanpa permit

Enam pengusaha kenderaan All Terraine Vehicle (ATV) sekitar kawasan Pantai  Balok dan Batu Hitam di sini hari ini dikenakan 12 notis saman berjumlah RM8,000 oleh Majlis Bandaraya Kuantan.

KUANTAN – Enam pengusaha kenderaan All Terraine Vehicle (ATV) sekitar kawasan Pantai  Balok dan Batu Hitam di sini hari ini dikenakan 12 notis saman berjumlah RM8,000 oleh Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Empat notis kompaun turut dikeluarkan kerana didapati melakukan kesalahan beroperasi tanpa permit.

MBK dalam kenyataan menjelaskan, bagi memperoleh kelulusan permit pengoperasian ATV, pengusaha perlu mempunyai perlindungan insurans liabiliti dan kemalangan demi keselamatan pengguna.

Selain itu, antara syarat yang dikenakan kepada pengusaha juga termasuk menyediakan dan menanda (kon/bendera) had sempadan serta laluan yang dibenarkan untuk pelanggan ATV.

Pengusaha juga dikehendaki melakukan penyelenggaraan serta pemeriksaan ATV pada setiap hari sebelum memulakan operasi.

Pengoperasian aktitivi ATV juga tidak boleh menimbulkan kacau ganggu pengunjung dan orang awam di kawasan tersebut selain perlu mengutamakan keselamatan sebelum, semasa dan selepas aktiviti.

MBK turut memaklumkan, jika terdapat sebarang permasalahan atau isu yang timbul dari aktiviti penyewaan ATV, ia  di bawah tanggungjawab pengusaha.

Berikutan aktiviti ATV di kawasan pantai semakin menjadi pilihan pengunjung yang datang bersama keluarga, MBK juga mengingatkan pengusaha mengenai aspek keselamatan orang awam terutama bagi pengguna berumur 16 tahun ke bawah yang perlu dipantau.- MalaysiaGazette