Home Pendapat Tiba masanya antivaksin kembali ke pangkal jalan

Tiba masanya antivaksin kembali ke pangkal jalan

Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak 'PICKids' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di PWTC (World Trade Centre) Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 20 FEBRUARI 2022. - Gambar hiasan

NEGARA kita dan dunia kini sudah hampir pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19. Urusan harian berjalan seperti biasa, kebanyakan SOP pandemik sudah dibatalkan kecuali bagi beberapa keadaan tertentu. Kita menarik nafas lega dengan perkembangan ini kerana pengalaman Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) dalam tempoh dua tahun lepas merupakan kenangan pahit yang sukar dilupakan.

Sejak pandemik ini bermula pada awal tahun 2020 di Malaysia, terdapat suara-suara sumbang yang mempertikaikan kewujudan penyakit Covid-19.  Ada juga yang mempercayai teori konspirasi kononnya virus ini adalah palsu dan berita
mengenainya dibuat hanya bagi menakut-nakutkan manusia kerana agenda tertentu.

Apabila vaksin diperkenalkan sebagai langkah kawalan, ada pula golongan yang enggan mengambil, bahkan menentang program vaksinasi.

Naratif Antivaksin

Antara mesej atau naratif yang dibawa oleh kumpulan ini termasuklah:
– Covid-19 hanya selesema biasa, jangan panik!
– Gejala Covid-19 ini didakwa disebabkan oleh gelombang telekomunikasi 5G.
– Ini semua konspirasi Yahudi.
– SOP hanya helah perancangan konspirasi Yahudi untuk menjauhkan orang Islam daripada masjid dan surau.
– Tidak perlu ikut SOP, ikut ‘cara Islam’, doa dan ambil wuduk sudah memadai.
– Ini cara Dajjal mewujudkan order baharu dunia.
– Manusia yang divaksin akan mati dalam tempoh satu, dua, tiga tahun.
– Vaksin ada ‘chips’ untuk menjejaki (tracking) kita.
– Vaksin dicipta untuk membunuh manusia secara besar-besaran. Vaksin akan menyebabkan berjuta orang mati kerana ini adalah kaedah ‘population control‘ (kawalan populasi) oleh konspirasi order baharu dunia.
– Mak Teh kata, sebenarnya ramai sangat orang mati kerana vaksin di Malaysia, tetapi kerajaan menyembunyikan maklumat ini.
– Sebenarnya lebih ramai orang mati kena cucuk vaksin daripada yang mati kerana Covid-19.
– Pemimpin, saintis, pegawai kesihatan dan perubatan Malaysia dungu, ikut telunjuk WHO.

Naratif kumpulan ini berubah-ubah dari semasa ke semasa apabila satu persatu telahan atau sangkaan awal mereka terbukti meleset.

Naratif Sains

Sementara itu, kerajaan, ahli saintis dan pakar perubatan negara membawa naratif berikut:
–  Covid-19 adalah akibat jangkitan virus yang berjangkit melalui sentuhan dan apungan di udara.
– Jangkitan virus boleh dikawal dengan beberapa ikhtiar, antaranya mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan diri. PKP dikenakan dan SOP diwujudkan bagi memastikan penularan dapat dikekang.
– Seperti virus lain, Covid-19 boleh dihentikan dengan merangsang antibodi semula jadi (natural)melalui kaedah vaksinasi.
– Jika cukup ramai rakyat telah divaksin, imuniti kelompok (herd immunity) akan terhasil, virus dapat dikawal dan kita boleh kembali ke era tanpa Covid-19.
– Program vaksinasi besar-besaran diperlukan untuk mendapatkan imuniti kelompok. Ini dicapai apabila majoriti penduduk divaksin.
– Apabila imuniti kelompok dicapai, kita sudah boleh kembali bermuamalah (bersosial, berinteraksi) seperti biasa.

Naratif ini konsisten, tidak berubah-ubah dan memang selaras dengan pengalaman yang dialami oleh kita sendiri.

Kejayaan Vaksin Covid-19

Kini, setelah lebih 90 peratus penduduk dewasa Malaysia disuntik vaksin, kita sudah boleh kembali seperti sediakala. Kita berhari raya dengan meriah, manakala cuti sekolah kita diserikan dengan  cuti-cuti Malaysia riang ria bersama keluarga.

Mujurlah majoriti rakyat Malaysia menolak naratif pertama yang dibawa oleh kumpulan yang menolak sains, menongkah ilmu perubatan dan menganggap setiap perkara sebagai konspirasi Yahudi.

Jika tidak, situasi Covid-19 Malaysia berkemungkinan menjadi tidak terkawal, mengorbankan lebih banyak jiwa, memberi tekanan kepada barisan hadapan. Jika ini berlaku, ia pasti menyusahkan kehidupan kita kerana PKP pastinya akan menjadi semakin ketat dan berterusan.

Mungkin kini tiba masanya penentang-penentang naratif sains perubatan dalam hal Covid-19 menyahkan kekhuatiran dan prasangka yang melampau dan menerima hakikat bahawa apa yang didodoikan selama ini palsu dan tidak berasas.

Maka benarlah firman Allah “Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran.” (Surah An-Najm: 28) 

Prof. Dr Omar Yaakob
Ahli Jawatankuasa Pusat
Pertubuhan IKRAM Malaysia