HONG KONG – Sebuah restoran terapung yang merupakan mercu tanda terkenal Hong Kong telah tenggelam, beberapa hari selepas ia ditarik keluar dari pelabuhan tempat ia beroperasi selama hampir 50 tahun.
Restoran Jumbo terbalik di Laut China Selatan ketika dalam perjalanan ke lokasi yang tidak didedahkan, kata syarikat induknya.
Aberdeen Restaurant Enterprises berkata, ia “sangat sedih dengan kejadian itu” tetapi tiada anak kapal yang cedera.
Restoran itu ditutup pada Mac 2020 ketika wabak Covid-19 melanda.
Lebih 3 juta tetamu dipercayai telah menjamu masakan Kantonis di restoran ini sejak bertahun-tahun, termasuk Ratu Elizabeth, Tom Cruise dan Richard Branson.
Restoran ini juga pernah ditonjolkan dalam beberapa filem – termasuk filem Bond tetapi wabak Covid-19 menyebabkan perniagaan itu berdepan dengan cabaran getir.
Jurutera marin telah diupah untuk memeriksa restoran terapung sebelum perjalanan dan “semua kelulusan yang berkaitan” telah diperoleh, kata pemiliknya.
Kapal itu sepatutnya tinggal di lokasi yang tidak didedahkan sementara ia menunggu pengendali baharu.
Tetapi ia tenggelam pada hari Ahad berhampiran Kepulauan Paracel selepas ia “menghadapi keadaan buruk” dan mula dipenuhi air, kata Aberdeen Restaurant Enterprises.
“Kedalaman air di tempat kejadian melebihi 1,000 meter, menjadikannya amat sukar untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat,” tambahnya.
Selain berdepan dengan wabak, restoran ini juga menghadapi masalah kewangan selama bertahun-tahun.
Operator Melco International Development berkata, perniagaan restoran ini tidak menguntungkan sejak 2013 dan mengalami kerugian besar.- BBC