Iskandar Puteri – Sebanyak 153,712 unit perumahan mampu milik di negeri ini masih belum dibina oleh pemaju hartanah sejak 25 tahun dahulu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, angka itu diperoleh berdasarkan data kelulusan Kebenaran Merancang (KM) Pelan Susunatur di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negeri Johor.
Masalah kegagalan pembinaan rumah perlu diatasi segera dengan strategi dan pemantauan yang berkesan berikutan projek rumah mahal telah pun dibina
“Kerajaan negeri telah meminta Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) untuk merangka pembentukan Jawatankuasa Perancang, Reka Bentuk dan Semakan (PDRC) yang berperanan untuk menilai, memantau, dan memudahcara permohonan cadangan pembangunan perumahan mampu milik.
“Jawatankuasa yang akan dianggotai oleh pelbagai jabatan serta agensi yang berkaitan seperti PBT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Johor, PlanMalaysia@Johor dan agensi-agensi utiliti ini akan menjadi platform utama kepada inisiatif pembinaan segmen perumahan bagi kumpulan B40 dan M40.
“PKPJ juga akan menjadi pangkalan data berpusat bagi memastikan koordinasi yang lebih efisien bagi pembangunan perumahan mampu milik dan perumahan transit oleh semua agensi kerajaan negeri, agensi Kerajaan Persekutuan dan juga pemaju hartanah swasta,” katanya ketika menjawab soalan lisan di sidang Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, pagi tadi.
Mohd Jafni memberitahu, pihaknya mensasarkan 21,139 unit perumahan mampu milik akan mula dibina secara berperingkat sehingga tahun 2026.
Jangkaan itu berdasarkan rangka kerja awal, perjumpaan bersama pemaju hartanah dan KM di PBT.
Malah bagi tahun 2022 dan 2023 sebanyak 5,033 rumah telah siap dibina dan ditawarkan.
“Kerajaan Negeri Johor juga telah mengenal pasti tanah kerajaan yang bersesuaian bagi pembinaan perumahan bagi kumpulan B40 dan M40, sama ada perumahan mampu milik yang boleh dibeli mahupun perumahan transit bagi memenuhi keperluan keperluan bangsa Johor.
“Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri Johor melalui PKPJ akan bekerjasama erat dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi penyelarasan perancangan dan sumber peruntukan,” katanya.- MalaysiaGazette