PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia yang sudah dan sedang dalam perjalanan menunaikan haji di Mekah diingatkan supaya menumpukan sepenuhnya untuk beramal ibadat.
Ini kerana, peluang untuk ke tanah suci bukan mudah, melainkan mereka terpaksa menunggu giliran puluhan tahun dan kosnya pula agak tinggi.
Oleh itu, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, sekiranya mereka sudah diberi peluang menunaikan haji, seeloknya habiskan masa 40 hari itu dengan menambahkan pahala ibadat.
“Sepatutnya apabila kita sampai dan sudah berada di depan Kaabah, beri tumpuan sepenuhnya kepada ibadat kerana Kaabah adalah tempat mustajab untuk kita berdoa kepada Allah.
“Maka, ini sepatutnya kita lakukan, bukan menghabiskan masa atau mengambil kesempatan melakukan perkara lain yang boleh mengganggu ibadat kita atau orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan seorang wanita yang juga pendakwah bebas tempatan dikatakan sempat mempromosi produk pil suplemen minda di Masjidil Haram, Tanah Suci Mekah.
Tindakan itu membuatkan seorang penulis dan penceramah, Syihabudin Ahmad Md. Yatim berasa terpanggil untuk memberikan pendapatnya, apatah lagi ustazah berkenaan didakwa ‘menjual’ produknya di hadapan Kaabah.
Menerusi video dimuat naik di laman YouTube, Syihabudin mengakui dia tidak mengenali gerangan ustazah tersebut atau mengetahui latar belakangnya sehingga mampu menghasilkan pil minda untuk kanak-kanak.
Mengulas lanjut, Idris menegaskan, perbuatan itu boleh mengganggu ibadah orang lain dan tumpuan jemaah yang datang dari jauh untuk beribadat.
“Kadang-kadang menjual produk ini boleh mengganggu amal ibadah orang lain. Mengganggu konsentrasi jemaah lain hendak beribadat.
“Sebab itu saya selalu pesan, waktu kita nak buat ibadat kita kena ada ilmu, tunai haji dahlah payah, kena tunggu giliran puluhan tahun, belanja pula mahal, tiba-tiba kita amalkan perkara macam ini.
“Tolonglah, berhenti sekejap menjual produk atau buat perkara lain. Tumpu 40 hari ini untuk beribadat dan dekatkan diri dengan Allah. Balik tanah air nanti, insha-Allah Allah akan beri rezeki yang lebih lagi kepada kita,” katanya.
Meninjau di ruangan komen video YouTube itu, ramai netizen tidak bersetuju dengan tindakan ustazah terbabit yang didakwa seolah-olah ‘menunggang agama’ demi meraih keuntungan dalam perniagaan. – MalaysiaGazette