Home Nasional Kenapa tak ambil golongan stateless sebagai pekerja asing?

Kenapa tak ambil golongan stateless sebagai pekerja asing?

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa (MHO) kecewa dan bimbang dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia (KSM), Datuk Seri M Saravanan berhubung golongan migran tanpa dokumen atau stateless di negara ini.

Kumpulan migran warga asing ini sudah tinggal di negara ini sejak beberapa generasi, masuk dengan izin namun kerana prosedur-prosedur kerajaan, mereka tidak mempunyai dokumen sahih walaupun anak, cucu lahir dan tinggal di sini untuk sekian lama di Sabah.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim kepada MalaysiaGazette, kenyataan Saravanan kononnya pengambilan pekerja daripada golongan tersebut adalah satu ‘idea bodoh’ cukup mengejut dan mengecewakan.

Kata Hishamuddin kenyataan Saravanan itu juga pelik apatah lagi dengan perancangan kerajaan membawa masuk 500,00 warga asing untuk bekerja di sini walaupun kadar pengangguran dalam kalangan tempatan masih lagi tinggi.

“Saya tidak pasti bagaimana hendak luahkan perasaan saya lagi. MHO sudah begitu lama memperjuangkan isu kumpulan ini tetapi kerajaan masih lagi berminat untuk bawa masuk warga asing yang baharu bagi memenuhi keperluan pekerja asing di negara ini.

“Adakah benar dakwaan yang melaporkan kononnya Datuk Saravanan kata ianya satu idea bodoh untuk dokumentasi kumpulan migrain yang juga sudah mendapat kelulusan Kabinet, Kerajaan Persekutuan? Bukankah beliau juga datang dalam kerajaan sama?

“Saya rasa hairan sungguh mengapa beliau beria-ia bawa masuk ratusan ribu warga asing masuk ke sini tetapi begitu culas bantu mendokumentasikan kumpulan yang bukan sahaja sudah sudah duduk di sini sekian lama malah memiliki semangat patriotisme lebih tinggi terhadap negara ini berbanding yang hendak dibawa masuk.

“Tolonglah, saya mohon kepada menteri dan kerajaan supaya lebih bersikap empati, sekurang-kurangnya berilah mereka ini sedikit hak asasi,” katanya sebentar tadi.

M. Saravanan.

Semalam bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Harris Salleh meminta Saravanan supaya meletak jawatan kerana mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Kata Harris, pendatang tanpa dokumen itu telah berada di Sabah selama 10 hingga 20 tahun tetapi masih berdepan dengan isu dokumentasi.

Dalam pada itu, kata Hishamuddin lagi, MHO sejak awal lagi sudah mencadangkan agar menggunakan tenaga asing yang tidak berdokumen ini kerana telah lama tinggal di negara ini.

“Mungkin ada pihak yang keliru, kumpulan migran ini bukanlah pendatang tanpa izin (PATI) sebaliknya yang masuk ke negara ini dengan izin namun anak atau cucu yang lahir selepas itu tidak dapat memiliki dokumen sahih kerana prosedur-prosedur kerajaan, imigresen sehinggalah mereka bergenerasi tinggal di negara ini tanpa apa-apa.

“Kita tidak boleh menyamakan kedudukan mereka dengan warga asing yang baharu. Sudah tentulah sangat berbeza termasuklah sudut patriotisme mereka. Migran anak cucu yang lahir di Malaysia, dibesarkan di Malaysia sudah tentulah tahap patriotik lebih mereka tinggi berbanding yang baru masuk ini.

“Selain itu dari segi ekonomi pula, jika kumpulan ini bekerja di Malaysia, mereka tidak akan bawa wang keluar ke negara asing seperti mana pendatang-pendatang lain.

“Terus terang, saya amat kecewa dan resah dengan kenyataan Menteri Sumber Manusia, saya sendiri pernah mengadakan pertemuan dengan beliau, terangkan keadaan stateless dan apakah yang kita boleh buat untuk mereka sebelum ini.

“Mereka ini semua lahir di sini, tanpa dokumen mana hala tuju mereka? Kasihan mereka tidak dapat pendidikan, perubatan semua hak asasi sebagai manusia. Apakah kamu tidak kasihan dengan mereka ini?,” soalnya. -MalaysiaGazette

Tangguh 500,000 kemasukan pekerja warga Bangladesh – MHO