SHAH ALAM – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PPKB) dicadangkan supaya bertemu serta berbincang dengan pemilik tanah di Kampung Bharu secara baik.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan aspek perundangan untuk memaksa 37 pemilik Kampung Sungai Baru di kampung di tengah-tengah ibu kota itu berkenaan menyerahkan tanah mereka.
“Harap maklum, mereka bukan setinggan dan sebaliknya adalah pemilik sah bergeran. Maka, hormatilah hak mereka. Kalau setinggan pun dilayani dengan baik khususnya di Selangor apatah lagi pemilik tanah yang sah dan bergeran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khalid yang merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, kenyataan Shahidan dan PPBK sangat mengelirukan serta lebih berpihak kepada pemaju.
Katanya, sikap tidak profesional turut ditunjukkan menteri apabila membidas penglibatannya dalam isu berkenaan dengan menuduh ianya adalah atas kepentingan diri dengan menular satu fakta yang tidak tepat dan bersifat remeh.
“Saya ingin jelaskan, saya dijemput untuk terlibat oleh sebahagian pemilik, khususnya pemilik rumah teres apabila mereka merasakan diri mereka teraniaya dan hak mereka tidak dibela oleh Menteri Wilayah dan juga PPKB.
“Saya cadangkan kepada kedua-dua pihak untuk menjawab isu yang ditimbulkan oleh pemilik dan henti bermain politik serta jalankan tanggungjawab kamu dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.
“Saya hanya membantu pemilik untuk menyuarakan bantahan mereka kerana ianya tidak didengari atas sebab mereka dilihat sebagai golongan marhaen dan lemah,” ujarnya.
Berhubung kenyataan PPKB, Khalid menjelaskan, ia tidak menjawab persoalan ditimbulkan malah satu kenyataan akan dikeluarkan Jawatankuasa Bertindak Sungai Baru bagi menjawab segala dakwaan dan kekeliruan itu.
Katanya, beliau hendak memberikan penekanan kepada beberapa isu seperti kenapa kerajaan terlibat dengan projek swasta itu sehingga sanggup menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.
Persoalan itu telah dikemukakan berkali-kali tetapi tidak dijawab malah PKB memberikan gambaran bahawa sekiranya projek itu gagal, kerajaan kena bayar gantirugi kepada semua pihak.
“Mengapa? Adakah kerajaan pernah menjadi penjamin kepada projek ini sepertimana ianya telah menjadi penjamin kepada pinjaman yang dibuat oleh 1MDB?
“Kalau benar kerajaan menjadi penjamin sila kemukakan segala dokumentasi berkaitannya. Kalau kerajaan tidak menjadi penjamin dan sememangnya ianya tidak patut menjadi penjamin kepada projek swasta, mengapa pula kerajaan perlu membayar ganti rugi?
“Saya dapati hujah PPKB sangat mengelirukan dan agak terdesak bagi mencari alasan untuk mengharuskan kerajaan terlibat dan menggunakan Akta Pengambilan Tanah,” katanya.
Begitu juga hujah Shahidan cuba meraih simpati dengan mengatakan 328 pemilik akan kehilangan tempat tinggal sekiranya projek pembangunan Sungai Baru tidak dijalankan, katanya.
“Ini kerana rumah mereka itu tidak lagi sesuai untuk diduduki dan sekiranya benar, pemaju perlu menjelaskan mengapa mereka mempelawa semua pemilik rumah berkenaan berpindah keluar dan meninggalkannya jika persoalan kelulusan pembangunan itu belum lagi selesai secara muktamad ketika itu?
“Dan adakah wajar, atas sebab kesilapan pemaju kerana terlalu gopoh memindahkan sebahagian pemilik, maka pemilik yang tidak bersetuju dengan tawaran diberikan dikenakan tindakan atas Akta Pengambilan Tanah?
“Tindakan begini sememangnya dilihat bertujuan membela dan membantu pemaju dan ini menimbulkan banyak persoalan dan andaian. Ada yang mengatakan “semua telah dibeli pemaju,” katanya.
Khalid berkata, alasan sebenar pemilik menolak tawaran pemaju adalah disebabkan harga yang ditawarkan.
Menurutnya, berdasarkan penilaian penilai bebas, tanah di Kampung Sungai Baru bernilai RM1,500 sekaki persegi kerana tanah itu tiada sekatan dan bukan rizab Melayu malah ada yang mengatakan nilainya mencecah RM3,000 sekaki persegi. – MalaysiaGazette