Home Nasional Tujuh motosikal musnah dalam kebakaran

Tujuh motosikal musnah dalam kebakaran

Tiga motosikal yang hangus 100 peratus dalam kebakaran di tempat letak kenderaan flat samudera, Gombak yang berlaku awal pagi tadi. Gambar Ihsan Bomba Selangor

GOMBAK – Sebanyak tujuh buah motosikal yang diletakkan di kawasan tempat letak kenderaan perumahan Flat Taman Samudera di sini musnah dalam insiden kebakaran  awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi bomba negeri telah menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran pada jam 5.25 pagi.

“Bertindak atas panggilan itu, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang telah bergegas ke lokasi kejadian.

“Bagaimanapun, setiba di tempat kejadian mendapati kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah beliau, siasatan  mendapati tiga motosikal musnah 100 peratus manakala baki motosikal lain musnah 10 hingga 70 peratus dalam kebakaran itu.

Menurutnya, kebakaran itu tidak membabitkan struktur bangunan flat itu dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

”Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 pagi dan siasatan lanjut berhubung punca serta jumlah kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan kami,” katanya. – MalaysiaGazette