Home Nasional NIISe jadikan sistem imigresen negara antara terbaik di dunia – Hamzah

NIISe jadikan sistem imigresen negara antara terbaik di dunia – Hamzah

Hamzah Zainudin modern day slavery
Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Sistem Bersepadu Nasional (NIISe) yang bakal digunakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan merevolusikan sistem sedia ada yang sudah diaplikasikan di dalam negara sejak dua dekad lalu.

Justeru, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin optimis sistem yang telah menelan kos perbelanjaan lebih RM1 bilion itu akan menjadikan sistem imigresen negara antara yang terbaik di dunia sejajar dengan kemajuan teknologi terkini.

Katanya, sistem NIISe itu dijangka beroperasi sepenuhnya bermula tahun 2024.

“Kontrak bagi projek ini membabitkan kerajaan dan syarikat Iris Information Technology Systems Sdn.Bhd serta beberapa buah syarikat lain telah dimuktamadkan pada Mei lalu.

“Bagi memenuhi keperluan semasa yang bertambah kompleks, KDN sentiasa komited untuk menambahbaik sistem imigresen sedia ada agar menjadi lebih komprehensif, berteknologi tinggi, bersepadu dan paling utama mesra pelanggan.

“Projek ini adalah selari dengan perkembangan teknologi terkini seperti internet of things (IOT), data raya, dan kecerdasan buatan (AI), agar sistem imigresen negara kita sentiasa kekal relevan dan selamat,” katanya di Majlis Penyerahan Kontrak Projek NIISe di sini hari ini.

Turut hadir ke majlis, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Dalam perkembangan yang sama, Hamzah menambah, pihaknya telah meluluskan 61 kontrak melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM889 juta pada tahun 2021 dan 2022.

Menurutnya, kesemua kontrak itu dipersetujui untuk melaksanakan projek fizikal dan bukan fizikal dalam usaha bagi memodenkan lagi sistem imigresen negara.

“Selain projek pembinaan Kompleks Kastam dan Imigresen (ICQ) baharu dan naik taraf pintu-pintu masuk negara, pelaksanaan automated clearance sistem dan kaunter bi-directional seperti yang disediakan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dapat meningkatkan lagi tahap kecekapan kawalan keselamatan pintu-pintu masuk negara.

“Antara teknologi terkini yang diimplimentasikan dalam pembangunan projek NIISe kita adalah Advance Passenger Screening (APS), Analitik Datar Raya (BDA)dan Automated Biometric Identification System (ABIS),” ujarnya.

Ahli Parlimen Larut itu juga memaklumkan kementeriannya turut melantik pihak ketiga untuk membantu kerajaan dalam mengawal selia, memantau dan mengaudit pelaksanaan projek berkenaan.

“Kerajaan telah melantik MIMOS Berhad sebagai Independent Project Management (IPM) untuk menyediakan perkhidmatan pengurusan projek dan MIMOS Technology Solutions Sdn.Bhd yang akan berperanan menyediakan khidmat verifikasi dan validasi ke atas sistem yang dibangunkan.

“Selain itu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pejabat Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) juga ditagih khidmat untuk membantu KDN memastikan sistem yang sedang dibangunkan berjalan lancar tanpa masalah,” tegasnya.- MalaysiaGazette