KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mempunyai hak untuk bertitah mengenai pembangunan di negeri itu, jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bekas Perdana Menteri berkata, titah Sultan Johor bahawa negeri itu dianaktirikan perlu pertimbangan daripada kerajaan pusat.
“Bagi saya, itu kenyataan baginda dan terserah kepada pihak pimpinan Perdana Menteri sama ada apa yang dititahkan oleh sultan itu betul, baginda tak dapat penjelasan dan peruntukan dan dianaktirikan, saya tidak tahu.
“Itu terserah kepada tuanku sultan apa baginda nak titahkan,” katanya dalam sidang media selepas program di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini.
Muhyiddin berkata demikian mengulas titah Sultan Ibrahim minggu lalu yang menggesa Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan yang lebih banyak kepada negeri itu.
Baginda bertitah demikian kerana setiap tahun hampir RM13 bilion hasil persekutuan dikutip dari negeri itu.
Sultan Ibrahim bertitah, ini berikutan beberapa tindakan Kerajaan Persekutuan yang dilihat seolah-olah menganaktirikan Johor dalam beberapa keputusan yang dibuat.
“Saya berasa amat sedih dengan keadaan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggarakan dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
“Kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga perlu ditingkatkan dengan sistem penyampaian cekap dan keadaan lebih selesa,” titah baginda pada Khamis lalu.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, tuntutan daripada negeri-negeri adalah berbeza dan kerajaan seharusnya bertindak adil dalam menyalurkan peruntukan kepada negeri-negeri berkenaan.
“Saya yakin bahawa nak katakan Johor tak diberikan layanan yang adil macam negeri-negeri lain pun boleh komen juga. Mereka pun tak dapat layanan yang adil.
“Ini kerana tuntutan atau pun permohonan negeri-negeri itu pelbagai jadi bila kerajaan Persekutuan buat satu keputusan dari segi peruntukan itu mesti ada pertimbangannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia – Sultan Ibrahim