Home Nasional Lelaki tumbuk dua anggota polis ditahan

Lelaki tumbuk dua anggota polis ditahan

Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang bertindak agresif dengan menumbuk  anggota polis yang menahannya untuk pemeriksaan badan di kawasan perumahan Taman Sri Manja, Petaling Jaya dekat sini berjaya ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang semasa  seorang anggota polis bersama rakan setugasnya menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal.

“Ketika terlibat dalam rondaan kedua-dua anggota telah diminta oleh orang awam iaitu satu lelaki warga tempatan agar menjalankan pemeriksaan terhadap suspek yang berada di dalam sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

“Anggota terbabit bersama rakan setugas telah mendekati dan mengarahkan suspek berusia 26 tahun itu supaya keluar dari kenderaannya untuk pemeriksaan badan.

“Suspek tiba-tiba telah merangkul leher anggota polis dari belakang dan menumbuk bahagian muka dan perutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, rakan setugas pengadu yang datang untuk meleraikan keadaan juga ditumbuk oleh suspek di bahagian mukanya.

“Kemudian berlaku pergelutan semasa pengadu dan rakan setugasnya berusaha untuk menangkap suspek yang bersikap agresif semasa kejadian itu.

“Kedua-dua anggota polis berkenaan telah mengalami kecederaan sakit bahagian tangan dan badan.

“Manakala suspek mengalami cedera ringan akibat pergelutan semasa tangkapan dan hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek mendapati negatif serta semakan rekod jenayah lampau mendapati tiada rekod jenayah,” katanya.

Menurut Mohamad Fakhrudin, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam bagi menakutkan daripada menjalankan kewajipannya.

Jelas beliau, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara boleh sampai tempoh dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

“Suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga 24 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut polis,” katanya.- MalaysiaGazette