KUALA LUMPUR – Seorang wanita warganegara Korea Selatan mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menipu urusniaga pembelian tiket penerbangan dalam talian.
Tertuduh, Lee Chorong, 38, membuat pengakuan itu atas pertuduhan pilihan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, Chorong bersama suspek yang masih bebas telah memperdayakan seorang wanita berusia 29 tahun untuk mendapatkan tiket penerbangan ke Korea sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM10,200 kepadanya.
Namun setelah pembayaran dibuat, mangsa gagal memperoleh tiket penerbangan yang dijanjikan daripada tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah Kondominium di Bukit Jalil di sini pukul 7.18 malam pada 6 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, polis telah menahan dua suspek termasuk Chorong kerana disyaki terlibat dengan kegiatan penipuan penjualan tiket penerbangan ke negara itu di Tanjung Aru, Sabah pada Sabtu lalu.
Kedua-duanya dipercayai telah memperdaya orang ramai menerusi laman sosial Kakao Talk untuk mendapatkan tiket penerbangan ke negara Korea.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Kamarudin Mat Din berkata, polis telah menerima 20 laporan berhubung penipuan berkenaan dengan kerugian bernilai RM233,954.
Penipuan itu diiklankan di laman web http://cafe.naver.com/mymalaysia yang memaparkan iklan penjualan tiket penerbangan didakwa dikendalikan syarikat Apsan Travel and Tour Sdn Bhd.
Peguam mewakili tertuduh, Muhammad Syafiq Salleh memohon mahkamah untuk mengenakan hukuman denda sahaja kepada anak guamnya.
Alasannya, ia kesalahan pertama dan anak guamnya juga sudah menyesal selain mempunyai dua orang anak yang masih kecil berusia satu dan tiga tahun.
Selain itu, suami tertuduh tidak mampu untuk mengeluarkan wang memandangkan akaunnya sudah dibekukan.
Kemudian, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman denda yang tinggi sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius iaitu menipu. – MalaysiaGazzete