Home Nasional PKR gesa tambah bantuan bulanan JKM, zakat

PKR gesa tambah bantuan bulanan JKM, zakat

Sangetha Jayakumar

KUALA LUMPUR – Bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat kepada golongan kurang berkemampuan perlu ditambah sebagai kaedah mengatasi kesan harga makanan yang bakal meningkat.

Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar berkata, bantuan itu perlu disalurkan dengan segera sebelum bermulanya menetapkan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan menarik semula subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol pada 1 Julai ini.

“Kerajaan ada tanggungjawab yang besar untuk mengambil langkah lebih proaktif untuk memastikan golongan masyarakat yang paling tertindas seperti wanita, kanak-kanak dan golongan OKU menerima bantuan secara saksama (“equitably receive aid”) dan secepat mungkin,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menjangkakan keluarga B40 bakal berhadapan dengan krisis makanan apabila terpaksa berhadapan kenaikan harga ayam, telur dan minyak masak.

Jelas Sangetha, golongan ini pada akhirnya akan berubah kepada makanan yang tidak seimbang demi langkah penjimatan.

“Jumlah peningkatan ini, yang sudah sedia wujud, ditambah dengan penambahan harga yang akan datang pada bulan Julai, kita akan nampak krisis makanan di mana keluarga B40 dan keluarga yang terutamanya diketuai oleh wanita (women-headed-household), tidak akan cukup wang untuk membeli makanan bagi rumahtangga mereka.

“Barangkali untuk mengatasi cabaran ini, jenis makanan yang dibeli oleh keluarga yang berada di bawah tekanan ini, akan berubah kepada makanan yang tidak seimbang, tidak sihat dan pastinya tidak mencukupi,” tambahnya.

Beliau dalam masa yang sama menyifatkan, kerajaan telah hilang kawalan terhadap situasi pembekalan dan pengawalan harga makanan sehingga terpaksa menetapkan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan menarik semula subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol.

Sangetha turut menyifatkan tindakan itu dilihat tidak memahami bebanan yang perlu ditanggung oleh rakyat apabila terpaksa berhadapan dengan kesan harga makanan meningkat.-MalaysiaGazette