Home Nasional SWAT SFC berjaya bunuh buaya Sungai Rimbas

SWAT SFC berjaya bunuh buaya Sungai Rimbas

Buaya yang ditangkap di Sungai RImbas.- pix ihsan Sarawak Harian.

KUCHING – Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) berjaya membunuh seekor buaya berukuran 4.8 meter petang semalam di Sungai Rimbas, Pusa di bahagian Betong.

SFC dalam kenyataan berkata satu pasukan SWAT khas terdiri daripada kakitangan dari Kuching dan Sibu dihantar ke lokasi untuk memburu buaya yang telah menyerang dan membunuh Bentayan Ilah, 31, dari Kampung Tambak baru-baru ini.

“Pasukan itu memasang 13 cangkuk beserta umpan di sepanjang lima kilometer di Sungai Rimbas dan berjaya menjerat buaya berukuran 4.8 meter petang semalam.”

“Bedah siasat dilakukan pagi ini dengan kehadiran pegawai polis dan keluarga mangsa. Beberapa anggota badan ditemukan di dalam perut buaya itu dan dihantar kepada polis untuk analisis forensik DNA,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Serpihan tulang yang dipercayai tulang manusia dari perut buaya yang ditangkap Sungai Rimbas.-pix ihsan Sarawak Harian.

Kenyataan itu menambah dalam dua lagi kes, pasukan SWAT dihantar ke Sungai Kawi, Bintagor serta ladang kelapa sawit di Suai, Miri dan berjaya memusnahkan dua ekor buaya masing-masing berukuran 3.87 meter dan 3.9 meter.

“Kedua-dua lokasi telah dilaporkan mempunyai masalah konflik manusia-buaya.

“Masyarakat diingatkan supaya memaklumkan kepada Jabatan Perhutanan atau pegawai SFC sekiranya ternampak buaya di kawasan mereka dan tidak mengambil tindakan sendiri kerana reptilia ini adalah haiwan berbahaya,” kata kenyataan yang dipetik daripada Bernama hari ini.- BERNAMA