KUALA LUMPUR – Persiapan jentera pilihan raya Pergerakan Pemuda UMNO telahpun mencapai tahap 80 peratus bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat daerah mengundi.
Justeru, Ketua pergerakan itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secepat mungkin.
Katanya, desakan tersebut bertepatan dengan pendirian yang telah dizahirkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021, Perhimpunan Agung UMNO Khas dan di dalam Konvensyen Barisan Nasional.
“Sebab kita berpegang prinsip mandat rakyat perlu diserahkan kepada rakyat. Tetapi kerana pertelingkahan dengan Pakatan Harapan menyebabkan kita tahu Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan akhirnya kita terpaksa mengambil tanggungjawab membentuk kerajaan campuran yang sudah tentu tidak stabil tetapi kerana faktor pandemik kita tangguhkan.
“Hari ini pandemik sudah beralih ke endemik dan kita konsisten daripada dulu mahu serahkan mandat kepada rakyat secepat mungkin. Selagi kita tak serahkan mandat kepada rakyat selagi itulah tidak ada keyakinan dan kepercayaan daripada pelabur,” tegas Asyraf wajdi.
Menurutnya, isu ekonomi bukanlah faktor yang sepatutnya menjadi halangan untuk mengadakan PRU15.
Tambahan kata Asyraf Wajdi, kemelesetan ekonomi serta inflasi yang berlaku ketika ini mengambil masa beberapa tahun untuk pulih.
“Isunya bila masa yang sesuai? Kalau bercakap soal inflasi ia dalam putaran ekonomi. Inflasi dan kemelesetan ekonomi macam putaran mengambil masa dua tiga tahun untuk berakhir. Kita pun ada tarikh tamat (pentadbiran) iaitu Julai tahun depan terbubar dengan sendiri.
“Bagi saya lebih baik serahkan mandat kepada rakyat dan kerajaan yang bakal dibentuk nanti berani membuat keputusan yang betul bukan hanya bergantung kepada populis atau kerana desakan dalam kerajaan,” katanya kepada media dalam sidang akhbar di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn.
Sementara itu Asyraf Wajdi berkata, pihaknya kini menumpukan fokus dalam menarik sokongan lebih ramai anak muda kepada Barisan Nasional dalam PRU15.
Berdasarkan trend yang ditunjukkan pada Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka memperlihatkan sokongan golongan itu semakin meningkat kepada BN.
Justeru kekuatan seluruh 2,000 cawangan UMNO di seluruh negara serta beberapa usaha perlu dilakukan agar sokongan anak muda terus bertambah kepada BN. – MalaysiaGazette.