Home Utama BKM Tambahan: RM100 untuk isi rumah, RM50 bagi bujang – PM

BKM Tambahan: RM100 untuk isi rumah, RM50 bagi bujang – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Tambahan kepada  penerima golongan B40 yang layak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan bantuan tambahan sebanyak RM100 kepada isi rumah RM50 untuk golongan bujang.

Justeru itu katanya, penerima BKM mengikut kategori yang layak dijangka menerima sehingga RM500 dan akan dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2, bermula 27 Jun nanti.

Beliau berkata, BKM Tambahan ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM630 juta dan dijangka bakal dinikmati hampir 8.6 juta penerima.

“Penerima ini merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang,” katanya ketika Pengumuman Khas yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Jelas beliau, bantuan tambahan itu akan dapat membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup selepas kerajaan menamatkan subsidi harga ayam, telur dan kenaikan harga barang makanan yang lain.

Dalam masa sama Ismail berkata, tambahan jumlah BKM juga diharap bakal meringankan beban kewangan golongan B40 menjelang Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Terdahulu katanya, setakat ini seramai 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan yang mana isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun 2022.

Setakat ini, penerima Fasa 2 BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan, status pembayaran BKM boleh dibuat bermula 27 Jun 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my. – MalaysiaGazette