MELAKA – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta di persimpangan Kampung Bukit Gedong, Jalan Tanjung Kling, di sini, hari ini.
Mangsa, Muhammad Azizul Haiqal Zulkefli, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam insiden kira-kira jam 12.30 tengah hari itu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari arah Tangga Batu menuju ke Tanjung Kling.
Sebaik tiba ditempat kejadian, jelasnya sebuah kereta jenis Proton Iswara di hadapan mangsa pada jarak kira-kira tiga buah kenderaan telah memberikan lampu isyarat untuk masuk ke simpang kiri.
“Bagaimanapun motosikal mangsa tiba-tiba telah bergesel di bahagian kanan kereta dipandu wanita berusia 44 tahun itu menyebabkannya hilang kawalan sehingga bertembung dengan sebuah Proton Saga FLX dari arah bertentangan.
“Akibatnya, mangsa kemudian terpelanting sebelum terjatuh di atas jalan raya dan disahkan maut di lokasi oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Tambahnya, pemandu kedua-dua kereta terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan dan saksi bebas diminta tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat Pegawai Penyiasat Inspektor R Nitheish Kumar di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette