PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yakin kontinjen Malaysia yang menyertai temasya Sukan Komanwel 2018 (CG2018) berupaya mengatasi pencapaian yang diraih pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.
Berbaki 166 hari lagi menjelang penganjuran sukan tersebut, Khairy berkata atlet negara pasti berada pada tahap terbaik sebelum beraksi dalam temasya sukan yang diadakan setiap empat tahun sekali itu.
Pada edisi 2014, kontinjen negara meraih enam emas, tujuh perak dan enam gangsa, menduduki tempat ke-12 daripada 37 negara.
“Saya yakin kita dapat atasi pungutan pingat yang diraih pada Sukan Komanwel Glasgow 2014,” katanya dalam ucapan selepas menerima kunjungan delegasi Larian Baton Sukan Komanwel (QBR) diketuai pegawai perhubungannya, Kerry Thompson di bangunan kementerian, di sini hari ini.
Khairy juga berkata kementerian amat berbangga kerana Malaysia telah dipilih menjadi negara ke-54 daripada 70 negara Komanwel yang akan menganjurkan larian itu.- BERNAMA