KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mencabar pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mengambil tindakan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana membawa politik perkauman dalam Pakatan Harapan.
Presidennya, Ramesh Rao berkata, sebagai pemimpin yang berpengalaman dalam DAP, Kit Siang perlu mengambil langkah segera membidas kenyataan berbaur perkauman yang disuarakan Mahathir dalam perhimpunan Sabtu lalu.
“Saya menuntut Kit Siang mengambil langkah segera menyelar serta membidas kenyataan Mahathir dalam ceramahnya yang terlalu rasis.
“Kita tahu Mahathir dalam ceramahnya kata Najib adalah keturunan bugis yang jadi lanun dan orang bugis sesat ke Malaysia.
“Bukan sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak orang bugis tapi ramai lagi orang Melayu di Malaysia berketurunan bugis termasuk Raja-Raja Melayu yang mempunyai keturunan sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sabtu lepas, Mahathir ketika berucap pada Himpunan Anti Kleptrokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berbangsa bugis dengan menggelar sebagai lanun dan sesat di negara ini.
Ramesh juga berkata, Kit Siang masih berdiam diri dan membiarkan Mahathir menyerang orang lain dengan menggunakan isu perkauman sehingga menyentuh asal usul keturunan orang lain.
Ramesh juga menegaskan Kit Siang menunjukkan reaksi sama apabila pemimpin DAP itu sendiri apabila tempat kelahiran dan asal usulnya dipersoalkan sebelum ini.
“Kit Siang begitu marah kepada orang ramai yang mempersoalkan asal-usul keturunan beliau sama ada dilahirkan di Malaysia atau berasal dari Tanah Besar China, tapi bila Mahathir buat, Kit Siang buat tidak tahu.
“Ini adalah satu perbuatan double standard sedangkan Mahathir mengutuk seorang Perdana Menteri, Kit Siang buat tidak tahu saja?” tegas Ramesh.
Katanya lagi, tindakan itu menunjukkan DAP mengamalkan pendekatan ‘pilih bulu’ dalam mengambil tindakan dan bersekongkol dengan rakan kongsinya untuk mengamalkan politik jahat.
“Bila bekas ahli DAP menentang Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, ramai jadi muflis akibat disaman dan kemudian diganggu kehidupan seharian mereka hanya kerana cuba menegakkan kebenaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.
Comments are closed.