KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengambil tindakan terhadap pengusaha pelancongan yang menawarkan pakej badal haji yang meragukan menerusi media sosial sejak akhir-akhir ini.
MOTAC dalam kenyataan hari ini menyebut pihaknya amat memandang serius tawaran pakej berkenaan memandangkan harganya jauh lebih rendah daripada caj pakej dan permit haji yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi.
“MOTAC akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yakni Seksyen 8(d) Akta 482 menyebut syarikat pengusaha pelancongan tidak boleh menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara,” menurut kenyataan itu.
Menurut MOTAC pengusaha pelancongan yang melanggar akta berkenaan boleh dikenakan penggantungan atau pembatalan lesen.
Sehubungan itu, MOTAC menasihatkan orang awam untuk membuat pengesahan terlebih dahulu terhadap apa-apa pakej yang ditawarkan dan hanya mempertimbangkan syarikat berlesen demi memastikan hak mereka terpelihara.
Senarai syarikat pelancongan yang berlesen di bawah MOTAC boleh dirujuk pada laman sesawang www.motac.gov.my/semakan/umrah.
Sebelum ini, Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah dilaporkan berkata, lambakan iklan yang mempromosikan pakej badal haji pada harga tidak munasabah perlu diberi perhatian serius kerana ia seolah-olah tindakan sengaja mengaut keuntungan.
Katanya, Lembaga Tabung Haji yang memainkan peranan penting di Tanah Suci pun tidak melaksanakan badal haji tahun ini kerana menyedari pelbagai peraturan yang ditetapkan Arab Saudi. – BERNAMA