KUANTAN – Seperti telah diduga, minyak masak paket 1 kilogram (kg) hampir habis di rak-rak di beberapa pasar raya sekitar Kuantan.
Keputusan kerajaan mengumumkan pemansuhan kawalan harga siling minyak masak tulen bagi pek kemasan botol 2 kg, 3 kg dan 5 kg bermula 1 Julai ini mendorong pembeli memborong minyak masak pek polibeg 1 kg bersubsidi yang dijual pada harga RM2.50 seunit.
“Makcik dah agak akan habis,” ringkas jawapan seorang warga emas yang disapa MalaysiaGazette yang membuat tinjauan di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.
Namun, terdapat juga pengguna yang memikirkan alternatif lain selain bergantung kepada minyak masak untuk masakan di rumah.
Seorang pembeli yang ingin dikenali sebagai Mort, 38, berkata, pengumuman kerajaan baru-baru ini tidak menjejaskan keluarganya.
“Kalau goreng-goreng ni, saya lebih suka guna ‘air-fryer’ untuk goreng ayam dan sebagainya. Tiada masalah,” jelasnya.
Katanya, beliau tidak terlalu terkesan dengan pengumuman penarikan semula subsidi minyak masak tulen itu berbanding para peniaga.
“Peniaga mungkin terjejas la sebab mereka menggunakan minyak masak dalam kuantiti yang banyak untuk menggoreng atau memasak,”katanya.
Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan tidak meneruskan kawalan harga siling ayam dan telur ayam berkuat kuasa 1 Julai.
Menurutnya, langkah itu dilaksanakan untuk memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran lebih stabil dan dalam jangka masa panjang dapat menstabilkan harga.
Bagaimanapun, subsidi minyak masak dalam bungkusan polibeg satu kilogram dan pada harga RM2.50 sepeket, masih diteruskan. – MalaysiaGazette