Home Utama Banyak pusat hiburan muzik tekno di KL edar dadah sintetik kepada pengunjungnya

Banyak pusat hiburan muzik tekno di KL edar dadah sintetik kepada pengunjungnya

Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan melancarkan gimik talian hotline ketika mengadakan sidang media mengenai isu aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di pusat-pusat hiburan di Malaysia di Nasken Coffe Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Ada pusat hiburan muzik tekno di ibu kota yang mengedarkan dadah sintetik seperti ekstasi, ketamin, methamphetamine dan minuman jus bercampur dadah kepada pengunjung yang majoritinya golongan muda.

Itu dakwaan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan mempunyai senarai 15 pusat hiburan terbabit yang menjadi lubuk pengedaran dadah itu.

Presidennya, Tan Sri Musa Hassan berkata, senarai premis pusat hiburan muzik tekno yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu diperolehi pihaknya menerusi tinjauan lapangan selain mendapat maklumat orang ramai.

“Kita mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas mereka dengan baik. Boleh dilihat paparan di media kejayaan polis merampas berkilogram-kilogram dadah dalam operasi mereka.

“Namun ada yang terlupa pusat hiburan yang membekalkan dadah di premis itu. MCCC dapat maklumat senarai pusat hiburan tekno muzik yang mengedarkan dadah sintetik seperti ekstasi, ketamin, methamphetamine dan minuman jus bercampur dadah kepada pengunjung yang majoritinya golongan muda,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bercakap pada media mengenai isu aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di pusat-pusat hiburan di Malaysia di Nasken Coffe Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 JUN 2022.

Justeru Musa akan menyerahkan senarai 15 pusat hiburan didakwa menjadi tempat pengedaran dadah sintetik di ibu negara kepada Bukit Aman dan  sudah berhubung dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay seterusnya mengadakan pertemuan dalam waktu terdekat.

Bekas Ketua Polis Negara difahamkan semasa pandemik Covid-19 banyak pusat hiburan yang diambil alih bermotifkan pengedaran dadah sintetik.

“Saya minta pihak polis bekerjasama dengan imigresen dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyerbu premis ini bagi mencegah kemudaratan khususnya anak muda kita.

“Siasat PR (orang perantara pusat hiburan) ini tadi yang tak diambil tindakan. Jangan tangkap penguatkuasa saja. PR ini yang bagi rasuah supaya melancarkan operasi sindiket.

“Siasat ketua sindiket dan PR terbabit. Saya akan membantu memberi maklumat lagi. Dalam senarai juga ada pemilik kelab (kelab malam),” ujarnya.

Ditanya adakah pihak berkuasa tempatan turut menjadi dalang sindiket dadah itu, katanya, PR pusat hiburan akan hubungi semua penguat kuasa.

Ditanya mengenai mengapa senarai berkenaan tidak diserahkan kepada Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Musa memberitahu, pihaknya lebih yakin tindakan akan segera dilakukan apabila senarai itu dihantar terus kepada Ayob Khan. – MalaysiaGazette