KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sekali lagi mengulangi agar pihak-pihak yang menuduh dirinya terlibat dengan kartel jenayah supaya membuktikan tuduhan mereka.
Menurutnya, banyak pihak cuba mengaitkan dirinya dengan sindiket jenayah namun sehingga kini tidak dapat membuktikan perkara tersebut.
Justeru beliau mahu tahu dakwaan yang dibuat Edisi Siasat berhubung perkara berkenaan dengan ia perlu disertakan siapa yang memberikan duit kepadanya dan pihak yang menuduh perlu menyertakan sekali nama pemberi.
“Saya nak tahu siapa kartel yang beri duit pada saya? Beritahulah nama dia…jangan cakap kartel saja. Siapa kartel yang beri kat saya?
“Dulu ramai orang cakap saya ambil rasuah dan saya sendiri sudah lapor pada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah) dan mereka sudah siasat saya,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Edisi Siasat dalam satu ciapan mendakwa Musa merupakan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima suapan daripada penjenayah.
Mengulas lanjut, Musa berkata, tidak wujud penglibatan kartel jenayah di dalam PDRM semasa beliau bertugas tetapi tidak menafikan ada orang tengah atau PR yang cuba menjadi memberi rasuah kepada anggota polis.
“Dalam polis tiada kartel, tapi PR yang hubungi anggota dan pegawai polis untuk berpakat dengan dia orang memang ada. Kalau dia (Edisi Siasat) tahu siapa kartel itu tolong bagi tahu,” tambahnya. – MalaysiaGazette