Home Nasional MH370: Kerajaan berminat tawaran Infinity Ocean

MH370: Kerajaan berminat tawaran Infinity Ocean

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan lebih berminat kepada tawaran daripada syarikat penerokaan lautan Amerika Syarikat (AS), Ocean Infinity dalam usaha mencari bangkai pesawat MH370 yang hilang tiga tahun lalu.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi apabila memberitahu, kerajaan sedang berunding dengan syarikat itu untuk menetapkan syaratnya.

“Kami lebih berminat kepada Ocean Infinity,” katanya seperti dilaporkan.

Sebelum ini, sebuah firma kajian maritim Belanda, Fugro, dikatakan ada membuat tawaran mencari pesawat MH370 dengan mengenakan caj paling rendah.

Bagaimanapun, tawaran Ocean Infinity yang dilapor menyatakan ‘tidak jumpa, tiada bayaran’ lebih menarik minat Kerajaan Malaysia.

Ocean Infinity dikatakan akan menggunakan enam kenderaan bawah air (AUG) HUGIN pada kedalaman 6,000 meter dengan kelajuan yang dikatakannya memecah rekod, bagi mengumpul data lantai laut beresolusi tinggi.

MH370 hilang pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ke Beijing.

Pada awal kehilangannya daripada radar, misi pencarian dilakukan di kawasan permukaan yang luas dan kemudiannya diteruskan dengan pencarian di dasar lautan di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi yang berakhir pada Januari tahun ini.

Operasi pencarian itu dikatakan membabitkan kos US$200 juta dan dibiayai tiga negara – Malaysia, Australia dan China.

Semalam, pasukan tindakan cepat Malaysia mengenai MH370 dilapor menghantar e-mel kepada keluarga penumpang MH370 memaklumkan mereka sedang berbincang dengan Ocean Infinity bagi meneruskan usaha pencarian itu.

“Tawaran yang diterima sedang dinilai oleh kerajaan Malaysia, Australia dan China,” kata e-mel itu. – MalaysiaGazette