Home Nasional Permohonan kemasukan universiti awam dibuka mulai 6 Feb

Permohonan kemasukan universiti awam dibuka mulai 6 Feb

PUTRAJAYA – Permohonan kemasukan pelajar ke universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan institusi latihan kemahiran awam bagi sesi akademik 2017/2018 akan dibuka mulai 6 Feb hingga 31 Mac ini.

Ia boleh dilakukan melalui Sistem UPUOnline di http://upu.mohe.gov.my mulai pukul 12 tengah hari 6 Feb ini.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan Tinggi berkata permohonan kemasukan ke Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya (UM) untuk lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf juga melalui Sistem UPUOnline yang sama.

Menurut kementerian itu, pemohon perlu membeli nombor unik ID pada harga RM15.64 termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula 6 Feb sebelum mengemukakan permohonan.

“Kaedah pembelian adalah melalui kaunter di BSN dan bagi pemegang akaun GIRO, pembelian nombor unik ID boleh dibuat melalui mesin pengeluaran wang (ATM) dan Online BSN.

“Sila pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian, disimpan untuk rujukan,” katanya.

Kementerian itu berkata pembelian nombor unik ID di BSN akan ditutup pada 30 Mac manakala Sistem UPUOnline pula ditutup pada pukul 11.59 malam 31 Mac.

–BERNAMA