Home Nasional Perbaiki sistem saliran, elak banjir besar Bukit Setongkol – ADUN Semambu

Perbaiki sistem saliran, elak banjir besar Bukit Setongkol – ADUN Semambu

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung menunjukkan naskah Laporan Banjir 2021 kepada salah seorang pegawai Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dalam lawatan ke Bukit Setongkol, Kuantan hari ini.

KUANTAN – Agensi kerajaan perlu menambahbaik sistem perparitan dan saliran di sekitar Bukit Setongkol sebelum musim tengkujuh.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung menggesa khuatir banjir besar seperti awal tahun lalu berulang jika tidak ditangani.

Malah pihaknya telah menerbitkan naskah Laporan Banjir 2021 yang merangkumi bukti bergambar bagi 14 lokasi banjir kerap berlaku serta cadangan untuk mengatasinya.

“Selepas kajian dan soal selidik dengan penduduk kampung yang dijalankan pihak kami, banjir dipercayai bermula dari sini (Bukit Setongkol), di mana air menjadi bertakung dan tersumbat tidak dapat keluar,” katanya.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung menunjukkan naskah Laporan Banjir 2021 kepada media semasa lawatan ke tapak kawasan kerap banjir di Bukit Setongkol, Kuantan hari ini.

Air tidak dapat mengalir itu seterusnya berpatah balik dan mengakibatkan rumah-rumah di kawasan terbabit banjir, kata Chean Chung.

Beliau berkata demikian kepada media semasa lawatan ke tapak banjir di Bukit Setongkol, di sini bersama pegawai Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) petang tadi.

Menurut beliau, Laporan Banjir 2021 telah diserahkan kepada agensi berkaitan iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang, MBK serta Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak tiga bulan lepas.

Chean Chung yang juga Bendahari Agung PKR turut menggesa MBK mengambil kira kewujudan projek perumahan baru ekoran kejadian banjir akan menjadi lebih serius.-

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Parlimen Indera Mahkota, Ts Zuraidi Ismail yang menyediakan laporan terbabit berkata, banjir di kawasan tersebut bermula apabila aliran air perlahan ke perkampungan tradisional di sini kemudian tersekat kerana pembentung di bawahnya kecil.

“Ia jadi backflow. Disebabkan itu, setiap kali hujan melebihi tiga jam, pasti akan banjir kilat,” jelasnya.

Pengurus Hal Ehwal Parlimen Indera Mahkota, Ts Zuraidi Ismail.

Beliau memberitahu, saliran longkang monsun yang cetek di kawasan terlibat juga menjadi faktor kerap berlaku banjir di kawasan berkenaan.

“Penggunaan longkang yang sama untuk monsun drain, maksudnya bercampur konkrit dan earth drain ditambah pula pembangunan juga adalah penyebab banjir,” tambah Zuraidi.

Antara kawasan kerap berlaku banjir di Bukit Setongkol, Kuantan.

Jelasnya, terdapat lebih 500 kediaman di kawasan itu menggunakan Saliran Longkang Monsun yang sama dan justeru ia perlu ditambah baik atau diperbesarkan bagi menampung aliran air yang banyak. – MalaysiaGazette