KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dan anak tirinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini, atas pertuduhan menipu dua orang pengarah syarikat dalam urusan jual beli sarung tangan sebanyak 60,500 paket yang melibatkan kerugian sebanyak RM756,250 dua tahun lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Ahmad Yusri Mohd Yunus, 66, dan anak tirinya, Megat Akhimullah Faliq Megat Khaironnashiin, 23, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah memperdaya dua Pengarah Syarikat Holborn Trading, Michael Seow Chor Huat, 41, dan Ong Sheng Jie, 34, dengan menawarkan pembekalan sarung tangan jenis Nitrile yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa memindahkan wang sebanyak RM756,250 ke dalam akaun Maybank tertuduh.
Tertuduh telah menjanjikan stok sarung tangan itu akan diperoleh dalam masa enam minggu selepas pembayaran deposit 50 peratus daripada harga RM1,512,500.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan Maybank Sri Petaling, Brickfields, di sini, pada 6 November 2020.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun serta sebatan dan denda, jika disabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi menawarkan jaminan kepada tertuduh, masing-masing RM100,000.
Bagaimanapun Ahmad Yusri dan Megat Akhimullah yang tidak diwakili peguam memohon kepada mahkamah untuk mengurangkan jumlah jaminan.
Selepas mendengar rayuan kedua-dua tertuduh, mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 28 Julai depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette