Home Sukan Zainal puas hati bahagian serangan Penang FC

Zainal puas hati bahagian serangan Penang FC

Zainal Abidin Hassan.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan berpuas hati dengan aksi barisan pemain terutamanya Hilal Al-Helwe dan Endrick dos Santos yang membantu pasukan menang 2-1 ke atas Terengganu FC meskipun tanpa kudrat penyerang utama, Casagrande yang mengalami kecederaan.

Ketiadaan penyerang dari Brazil itu yang mengalami retak tulang pipi kanan sedikit sebanyak memberi impak kepada pasukan, namun percaturan Zainal nyata menjadi untuk memastikan bahagian depan Penang tetap berbisa untuk memburu jaringan.

Jelasnya, beliau perlu melakukan perubahan drastik terutamanya di bahagian serangan selain menyifatkan pasukan ini mempunyai ramai pemain yang mampu melakukan larian deras yang mana Endrick dan Al-Helwe melakukan tugas  cukup baik untuk membantu pasukan menewaskan Terengganu FC, Rabu lalu.

“Memang saya kena teliti setiap pemain pada saat-saat akhir apabila kita kehilangan Casagrande dan di sini kita terpaksa ubah suai khususnya di bahagian serangan.

“Ini kerana kita ada begitu banyak pemain yang deras berlari tetapi untuk perlawanan ini selepas tiada Casagrande, saya terpaksa buat keputusan untuk Endrick dan Hilal. Alhamdulillah mereka berjaya menjalankan tugas pada Rabu lalu.

“Kita tahu serangan Terengganu berbisa dengan enam pemain mereka seperti Manuel Ott, Faisal Abdul Halim, Faiz Nasir, Habib Haroon, Tchetche Kipree dan Kpah Sherman, mereka sungguh bahaya dan dapat buat serangan yang baik sehingga menghasilkan gol, itu kecuaian yang telah kita buat.

“Tetapi mereka telah mengawal keenam-enam ini dengan baik dan di sinilah nampak kesungguhan mereka untuk terus mendapat kemenangan,” jelasnya.

Kemenangan Penang FC itu meletakkan mereka di tangga ke-11 Liga Super dan Terengganu FC di kedudukan ketujuh. – MalaysiaGazette