KUALA LUMPUR – UMNO dijangka tidak lama membiarkan kekosongan berlaku dalam barisan anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu selepas Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan Selasa lalu.
Khabar angin bertiup kencang bahawa bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil akan menggantikan tempat Ahli Parlimen Pasir Salak itu.
Malah, Isham menerusi hantaran Facebooknya petang ini, walaupun tidak mengesahkannya, tetapi memaklumkan beliau dipanggil untuk menghadiri Mesyuarat MKT di ibupejabat UMNO malam ini.
“Saya telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa saya telah dijemput untuk menghadiri sesi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC (WTC) pada malam ini.
“Terima kasih kerana sudi jemput saya untuk menghadiri sesi mesyuarat bagi badan tertinggi parti pada malam ini. Saya akan hadir.
“Sebagai ahli UMNO dari akar umbi, saya akan bantu parti dengan apa yang termampu untuk kepentingan rakyat dan negara. Terima kasih. Salam,” tulis beliau.
Hari ini, media melaporkan Tajuddin digugurkan jawatan anggota MKT berkuatkuasa Selasa lalu berikutan pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia minggu lalu.
Bagaimanapun, sumber memberitahu, pengguguran itu disebabkan kelantangan Tajuddin menegur kepimpinan UMNO dalam ceramah dan mesyuarat tertutup yang dihadirinya.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid ketika ditanya wartawan, menjelaskan, pengguguran itu adalah keputusan parti dan sesiapa sahaja harus patuh.
Beliau turut meminta media bertanyakan sendiri kepada Tajuddin kenapa dirinya digugurkan dari jawatan MKT.
Isham pula pada 7 Jun lalu ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Penerangan BN Selangor oleh BN negeri itu berkuatkuasa serta merta dengan alasan pelantikannya tidak ada dalam perlembagaan parti. – MalaysiaGazette