Home Nasional Sukarelawan KBS dan MBM turun padang pantau harga barang

Sukarelawan KBS dan MBM turun padang pantau harga barang

Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR- Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia akan menggembleng tenaga dan menggerakkan sukarelawan golongan belia secara besar-besaran di seluruh negara untuk memantau kenaikan harga barang.

Kerjasama itu untuk melindungi kepentingan dan hak pengguna selepas negara menyaksikan kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini yang mencetuskan rungutan dan kebimbangan rakyat.

Kenyataan bersama yang dikeluarkan Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid hari ini berkata, KBS mengambil maklum situasi semasa.

“Dengan kerjasama MBM, KBS mengambil langkah proaktif menggerakkan belia
sebagai sukarelawan yang akan memainkan peranan di lapangan bagi memantau
sebarang eksploitasi kenaikan atau lonjakan harga di pasaran.

“Sebarang salah laku kenaikan harga barang sebagai mengekploitasi hak pengguna akan dilaporkan oleh pasukan sukarelawan belia kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKTA 723),” kata Ahmad Faizal.

Katanya, langkah itu juga selaras dengan pengumuman terkini oleh kerajaan yang mengekalkan subsidi ke atas beberapa makanan asas.

“Kementerian ini yakin kerjasama strategik bersama MBM ini mampu menggerakkan
golongan belia bagi membantu kerajaan untuk memastikan kepentingan pengguna
adalah dilindungi dan terpelihara.

“Untuk tujuan tersebut, Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bersama MBM akan mengaktifkan sukarelawan belia di seluruh negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette