KUALA LUMPUR – Wartawan-wartawan generasi baharu hari ini dituntut supaya bersedia memperkasakan diri dengan kepelbagaian baharu, bersifat multi-tasking dan pantas dalam menyalurkan berita.
Pengerusi Malam Wartawan Malaysia 2022, Dr. Chamil Wariya dalam ucapannya berkata, dalam tempoh lebih empat dekad pelaksanaan Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) sejak 1980, ekosistem dan landskap media dan kewartawanan itu telah mengalami perubahan-perubahan yang amat pesat.
Perubahan-perubahan yang dipacu oleh internet dan elemen-elemen kecerdasan buatan, robotik, analisis data raya, internet of thing (IoT), realiti maya era Revolusi Industri 4.0, para wartawan generasi hari in perlu siap-sedia memperkasakan diri.
“Wartawan hari ini dituntut memperkasakan diri dengan kepelbagaian kemahiran baharu, bersifat multi-tasking dan pantas dalam menyalurkan berita tetapi kekal terikat dengan etika kewartawanan”
“Wartawan juga dituntut pantas dalam menyalurkan berita seiring fakta sahih dan tepat dalam mengekang penyebaran berita palsu”
“Selain itu, penggunaan pelbagai teknologi digital dalam pengumpulan dan penyebaran maklumat mengikut kitaran 24 jam sehari, dan 365 hari setahun, adalah antara cabaran utama yang perlu didepani kelompok wartawan profesional hari ini.” katanya ketika berucap pada Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2022, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2021.
Terdahulu MPI telah menerima 350 penyertaan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI – Petronas 2021 dan seramai 116 calon pemenang disaring untuk 15 kategori anugerah.
MPI mencatatkan 35 peratus peningkatan penyertaan HKM 2021 (350 penyertaan) berbanding HKM tahun sebelumnya, 228 penyertaan pada 2020.
Pada tahun ini, Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI – Petronas 2021 tiada pemenang Anugerah Kajai diumumkan. – MalaysiaGazette