KUALA LUMPUR – Biro Pengguna Parti Amanah Negara (Amanah) memandang serius kebimbangan rakyat dengan peratusan inflasi makanan negara yang semakin meningkat tinggi sejak November 2011.
Pengerusinya, Faiz Fadzil berkata, laporan dari Jabatan Perangkaan menunjukkan 93 peratus item dalam kumpulan makanan telah meningkat harga masing-masing.
“Keadaan ini telah meningkatkan kos sara hidup dan seterusnya meningkatkan kadar inflasi, sekali gus menimbulkan kebimbangan rakyat.
“Sungguh pun kerajaan membuat u-turn ke atas harga apungan ayam, namun harganya tetap dijangka tinggi.
“Peningkatan harga barang makanan ini akan menjadi lebih kronik apabila kerajaan memutuskan untuk memberhentikan subsidi ke atas beberapa barang makanan asas termasuk ayam, telur dan minyak masak botol bermula 1 Julai ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Faiz persoal adakah kerajaan tidak memahami kesan yang akan berlaku apabila subsidi dipotong, tetapi bantuan tunai yang diberikan tidak seberapa?
Soal beliau, adakah kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu mengulangi kesilapan Datuk Seri Najib Razak dahulu yang memansuhkan subsidi secara mendadak pada ketika inflasi meningkat.
Katanya, dengan pemansuhan subsidi ayam, telur dan minyak masak botol, kerajaan tidak lagi perlu berbelanja RM605 juta sebulan iaitu RM550 juta untuk ayam dan telur serta RM55 juta untuk minyak masak.
Ini menurut Faiz, penjimatan RM7.26 bilion untuk tempoh setahun namun kerajaan hanya menghulurkan bantuan tunai one-off sebanyak RM630 juta dalam bentuk RM50 kepada orang bujang dan RM100 untuk isi rumah di bawah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
“Hakikatnya, bantuan RM50 dan RM100 ini tidak mencukupi.
“Justeru, kerajaan digesa untuk menambah lagi bantuan di samping BKM dengan memperkenalkan konsep digital food voucher.
“Konsep ini boleh diberikan setiap bulan dan boleh ditebus menerusi kad pengenalan,” ujarnya.
Beliau berkata, rakyat B40 dan miskin bandar boleh menebus baucar itu untuk barang makanan asas seperti beras, minyak masak, sayur-sayuran, ayam, ikan dan sebagainya bagi meringankan beban hidup rakyat. – MalaysiaGazette